Projek pembangunan RM11.6 bilion sokong prospek Mah Sing di Johor – CIMB Securities

29 Jul 2026 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek pembangunan RM11.6 bilion sokong prospek Mah Sing di Johor – CIMB Securities Image from: Projek pembangunan RM11.6 bilion sokong prospek Mah Sing di Johor – CIMB Securities liza29/07/2026 - 12:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Mah Sing Group Bhd berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan perkembangan ekonomi Johor menerusi projek pembangunan bernilai RM11.6 bilion dan pengalaman membangunkan projek bernilai RM4.5 bilion di negeri tersebut, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata rekod cemerlang Mah Sing di Johor serta pegangan tanah yang besar memberikan kelebihan kepada kumpulan itu untuk memanfaatkan peluang daripada peningkatan aktiviti ekonomi susulan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

 

“Mah Sing telah menyiapkan kira-kira RM4.5 bilion pembangunan kediaman dan industri di Johor, mencerminkan pengalaman kumpulan itu dalam melaksanakan projek berskala besar di negeri berkenaan.

 

“Kumpulan itu kini mempunyai projek pembangunan bernilai RM11.6 bilion di Johor seperti M Grand Minori, Meridin East, M Tiara 2 dan Tiara Hills.

 

“Johor juga menyumbang kira-kira 1,463 ekar (592 hektar), atau 55% daripada baki bank tanah Mah Sing, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai antara kawasan utama dalam strategi pertumbuhan kumpulan tersebut,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Selain segmen kediaman, Mah Sing turut memperluaskan penglibatan dalam sektor hartanah industri menerusi pembangunan MS Industrial Park @ Kulai di Kulai, Johor.

 

Projek berkenaan membabitkan pengambilalihan tanah industri seluas 419.2 ekar (169.7 hektar) daripada Aura Muhibah Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), dengan nilai RM273.9 juta.

 

MS Industrial Park @ Kulai Tarik Sektor Bernilai Tinggi

Menurut firma penyelidikan itu, lokasi MS Industrial Park @ Kulai mempunyai kelebihan dari segi hubungan pengangkutan kerana berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor menerusi rangkaian lebuh raya utama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing dapat kelulusan pemegang saham bangunkan MS Industrial Park @ Kulai bernilai RM2.26 bilion

 

Kawasan itu dijangka menarik syarikat daripada sektor bernilai tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), farmaseutikal, makanan dan minuman serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

 

Mah Sing merancang melancarkan fasa pertama kilang siap dibina bagi projek tersebut pada suku keempat 2026, manakala keseluruhan pembangunan lima fasa itu dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan tahun untuk disiapkan.

 

CIMB Securities menjangkakan pembangunan industri mampu menyumbang antara 20% hingga 30% daripada campuran jualan masa depan Mah Sing yang membantu kumpulan itu mempelbagaikan sumber pendapatan berbanding bergantung kepada segmen kediaman semata-mata.

 

Prospek Mah Sing Disokong Rekod Cemerlang Pelaksanaan Projek

Dalam masa sama, CIMB Securities berkata Mah Sing terus menunjukkan keupayaan pelaksanaan projek walaupun berdepan peningkatan kos pembinaan dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

 

Projek M Zenya di Kepong yang telah habis dijual kini mencapai peringkat akhir dengan siapnya struktur utama (topping-out) dan dijangka siap 13 bulan lebih awal dari jadual asal.

 

Firma penyelidikan itu berkata pencapaian tersebut mencerminkan keupayaan Mah Sing dalam mengurus kos serta memastikan dapat menyempurnakan projek dengan cekap.

 

Oleh itu, CIMB Securities mengekalkan saranan “Beli” terhadap Mah Sing dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.55.

 

“Saham kumpulan itu masih didagangkan pada diskaun kira-kira 60% berbanding nilai aset bersih dinilai semula (RNAV). Kami menjangkakan hasil dividen antara 5.4% hingga 5.7% bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028,” katanya - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved