Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman dijangka siap 2028, jadi pemangkin ekonomi Pantai Timur

LocalBusiness & Finance
7 Jan 2026 • 4:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman dijangka siap 2028, jadi pemangkin ekonomi Pantai Timur image is not available liza07/01/2026 - 16:38

KUALA LUMPUR 7 Jan – Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman yang merangkumi tiga komponen utama, dijangka siap pada 2028, kata Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman, Datuk Azan Ismail.

 

Azan berkata, pihak berkuasa pelabuhan telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada Disember lalu, membolehkan kerja penambakan di tapak seluas 22.66 hektar dimulakan bulan ini.

 

Beliau berkata proses penambakan, yang dijangka selesai pada suku kedua tahun ini akan diikuti dengan pembesaran dermaga dan pembinaan benteng pemecah ombak yang dijangka menelan kos antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion.

 

 

 

 

 

 

“Proses penambakan yang dianggarkan sekitar RM200 juta akan menyediakan ruang lebih besar untuk Kawasan pelabuhan yang mengendalikan aktiviti kargo, pergudangan dan operasi maritim.

 

“Di Pantai Timur, hanya terdapat dua pelabuhan komersial – Kemaman dan Kuantan yang berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi berasaskan maritim. Oleh itu, kerajaan melihat keperluan untuk projek pembesaran Pelabuhan Kemaman, yang sejak sekian lama menjadi ‘feeder’ untuk industri minyak dan gas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program “Back To School” Lembaga Pelabuhan Kemaman di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga di Kuala Terengganu hari ini.

 

 

 

 

Tambah Azan, pelaburan itu dijangka menjana tiga kali ganda nilai pembangunan kasar projek (GDV) iaitu antara RM6 bilion hingga RM7 bilion.

 

Beliau berkata pembesaran pelabuhan itu adalah sebagai persediaan peningkatan operasi sebaik sahaja Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) beroperasi sepenuhnya awal tahun depan. -- BERNAMA

Terkini standard