Projek penggantian paip Bukit Lanjan capai hampir 80 peratus, siap sebelum Tahun Baharu Cina

31 Jul 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Projek penggantian paip Bukit Lanjan capai hampir 80 peratus, siap sebelum Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 31 JULAI: Projek penggantian paip air uzur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan kini mencapai kemajuan hampir 80 peratus dan dijangka siap sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Wakil rakyatnya, Pua Pei Ling berkata projek bernilai RM40 juta yang bermula pada Oktober tahun lalu itu melibatkan penggantian paip sepanjang 37 kilometer di Desa Jaya, Taman Ehsan dan Kepong Ulu.

"Projek penggantian paip air dengan kepanjangan 37 kilometer di Desa Jaya, Taman Ehsan dan Kepong Ulu kini telah mencapai hampir 80 peratus kemajuan.

"Selepas kerja penggantian paip selesai, kerja penurapan semula jalan akan dilaksanakan supaya penduduk bukan sahaja mendapat paip baharu, malah menikmati keadaan jalan yang lebih baik," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan bagi menggantikan paip berusia hampir 40 tahun yang kerap mengalami kebocoran, terutama ketika waktu penggunaan air memuncak pada sebelah pagi dan petang.

Image from: Projek penggantian paip Bukit Lanjan capai hampir 80 peratus, siap sebelum Tahun Baharu Cina
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan tekanan air terpaksa dikurangkan bagi mengelakkan kebocoran berulang, sekali gus menjejaskan bekalan kepada penduduk serta premis perniagaan.

"Pemasangan paip baharu akan membolehkan tekanan air ditingkatkan tanpa berdepan masalah kebocoran yang kerap.

"Kita berharap selepas projek ini siap, masalah tekanan air rendah yang berlarutan selama berpuluh-puluh tahun dapat diselesaikan dan penduduk menikmati bekalan air yang lebih stabil serta bersih," ujarnya.

Pei Ling berkata kawasan terbabit merangkumi pembangunan bercampur yang melibatkan kawasan perumahan, rumah kedai, pasar, klinik kesihatan dan kampung, sekali gus memerlukan kapasiti serta tekanan air yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan harian.

"Kawasan ini memerlukan kapasiti dan tekanan air yang tinggi supaya bekalan dapat menampung keperluan asas penduduk setiap hari, termasuk di kawasan komersial dan kemudahan awam," jelasnya.

Image from: Projek penggantian paip Bukit Lanjan capai hampir 80 peratus, siap sebelum Tahun Baharu Cina
Pekerja menjalankan kerja penggantian paip air uzur di Taman Ehsan bagi mengatasi masalah kebocoran dan tekanan air rendah.

Beliau berkata hampir semua paip utama telah siap dipasang, manakala kerja penyambungan paip baharu ke meter setiap rumah sedang giat dijalankan sebelum ujian tekanan air dilaksanakan sebagai persediaan ke fasa akhir projek.

Menurutnya, projek yang melibatkan kira-kira 1,000 kediaman dan dilaksanakan tujuh kontraktor itu merupakan antara projek penggantian paip terbesar yang pernah dilaksanakan di DUN Bukit Lanjan.

Tambah beliau, kerja penggantian paip akan diteruskan di Wangsa Permai dan Selayang Utama selepas projek semasa selesai.

"Kerja penggantian paip di Wangsa Permai dan Selayang Utama telah mendapat kelulusan peruntukan.

"Kini kita hanya menunggu permit sebelum kerja di tapak dapat dimulakan. Kedua-dua projek itu akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved