Kehadiran pelancong Singapura, RHB Research ramal pendapatan KSL daripada pusat beli-belah naik pada FY26

24/09/2025 - 12:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Sept - Pendapatan KSL Holdings Berhad daripada pusat beli-belah diramal meningkat dengan ketara pada tahun kewangan 2026 (FY26) didorong kehadiran pelancong dari Singapura, kata RHB Research.
Katanya, sumbangan itu akan datang daripada dua aset utamanya, iaitu KSL City Mall dan KSL Esplanade Mall, yang masing-masing mempunyai keluasan ruang niaga bersih (NLA) 450,000 kaki persegi dan 650,000 kaki persegi.
Firma penyelidikan itu berkata, perjanjian sewaan daripada penyewa utamanya, Lotus’s, di KSL City Mall akan tamat pada awal 2026, dan proses pembaharuan dijangka meningkatkan hasil sewaan secara signifikan.
"Pada masa sama, Lotus’s turut akan mengambil alih ruang pasar raya di KSL Esplanade Mall, yang dijangka menambah tarikan pengunjung termasuk dari Singapura serta memacu minat penyewa baharu," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, segmen hartanah pelaburan pula kini menyumbang hampir 20% daripada jumlah pendapatan kumpulan dengan KSL City Mall mendapat manfaat daripada perbelanjaan didorong oleh dolar Singapura, terutama dalam perniagaan perkhidmatan berharga mampu milik.
Katanya, kadar sewaan purata semasa di pusat beli-belah itu ialah RM23 sekaki persegi, lebih tinggi berbanding pusat beli-belah lain di kawasan sekitar.
Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan pembangunan hartanah yang lebih tinggi daripada purata industri, kos tanah yang rendah serta potensi peningkatan nilai sewaan pusat beli-belah, KSL berada dalam kedudukan baik untuk meningkatkan keuntungan.
Sementara itu, margin EBIT kumpulan antara 35% hingga 40% bagi bahagian pembangunan hartanah adalah jauh lebih tinggi berbanding purata industri.
Katanya, keadaan itu dipacu kos tanah yang rendah, pemaksimuman kecekapan penggunaan tanah, penetapan harga produk serta keupayaan pembinaan dalaman.
"Pihak pengurusan juga berjaya memperoleh beberapa bidang tanah semasa pandemik COVID-19, serta daripada beberapa pemilik tanah yang mengalami kesukaran kewangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang saranan tetapi memberikan harga wajar (FV) RM4.50 sesaham.- DagangNews.com
standard
