Projek pusat data tingkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang HE Group – Phillip Research

Business & FinanceStartup
6 Aug 2025 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek pusat data tingkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang HE Group – Phillip Research

image is not available

06/08/2025 - 12:55

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Prospek HE Group Bhd dilihat semakin cerah menjelang separuh kedua tahun kewangan 2025 (2H25), didorong oleh permintaan kukuh bagi perkhidmatan kejuruteraan elektrik dalam projek pusat data serta peningkatan kejelasan terhadap jadual penganugerahan kontrak baharu, kata Phillip Research.

Firma penyelidikan itu menyasarkan pemulihan buku pesanan syarikat itu masing-masing sebanyak RM120 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25), RM230 juta (FY26) dan RM250 juta (FY27), disokong oleh tender aktif yang kini mencecah RM675 juta.

"Walaupun terdapat kelewatan dari segi masa penganugerahan kontrak, kami menjangkakan momentum pemulihan pendapatan akan bermula pada FY26 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 34%," katanya Philip Research dalam nota kajiannya.

Firma itu turut menyemak semula unjuran pendapatan FY25 dan FY26 HE Group dengan pengurangan masing-masing sebanyak 1% dan 3%.

Namun, unjuran bagi FY27 dinaikkan sebanyak 1% seiring jangkaan lonjakan dalam pelaksanaan projek.

Keuntungan bersih teras bagi suku kedua 2025 (2Q25) dijangka kekal sederhana sekitar RM3 juta, namun Phillip Research menggesa pelabur untuk melihat kepada potensi jangka panjang syarikat.

Tambahnya, segmen pusat data kekal sebagai penyumbang utama dengan merangkumi 80% daripada nilai tender semasa, manakala baki 20% melibatkan sektor semikonduktor dan peranti perubatan.

“Syarikat itu juga baru-baru ini memenangi projek pemasangan dalaman bernilai RM3 juta daripada sebuah pengendali pusat data berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Projek tersebut dijangka menjadi penanda aras penting bagi membuktikan keupayaan teknikal HE Group dalam sektor berkenaan,” kata firma itu.

Industri pusat data di Malaysia mencatatkan nilai kontrak kumulatif sebanyak RM7.9 bilion pada 2024, dan setakat separuh pertama 2025, nilai kontrak baharu telah mencecah RM4.5 bilion, iaitu 57% daripada keseluruhan tahun sebelumnya.

Situasi ini menunjukkan peningkatan aktiviti yang positif dalam sektor berkenaan menjelang 2H25, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk HE Group.

Sementara itu, syarikat turut menjangkakan peningkatan tender dalam sektor semikonduktor pada suku ketiga 2025 (3Q25) hasil rancangan pengembangan pengeluaran oleh beberapa pelanggan utama.

Dalam masa sama, segmen perubatan juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan berikutan rancangan peluasan kilang oleh pengeluar peranti perubatan tempatan.

Dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE ratio) bagi FY26 pada kadar hanya 10 kali, iaitu di bawah purata sektor 14 kali, Phillip Research menilai saham HE Group berada pada penilaian menarik bagi pelabur yang mencari pendedahan kepada pertumbuhan struktur jangka panjang dalam industri pusat data.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham HE Group dengan harga sasaran baharu dinaikkan kepada 51 sen berbanding 45 sen sebelum ini. - DagangNews.com

standard