
PUTRAJAYA - Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi Khamis.
Beliau hadir bagi memberi keterangan berkaitan dakwaan penglibatan dalam salah laku perolehan projek penerbitan bahan kreatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bernilai RM4 juta.
Bagaimanapun kehadirannya gagal dikesan oleh pihak media yang berkampung di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat SPRM seawal jam 8.30 pagi.
Sementara itu, Sinar Harian sempat merakamkan sebuah kenderaan yang mempunyai pelekat DBKL memasuki bangunan SPRM jam 10.15 pagi.
Sebelum ini, DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu tular di media sosial membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Afdlin dalam pada itu membuat laporan polis dan menafikan tuduhan tersebut.


