Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM512 juta mula dibina hujung 2027

LocalEnvironment
7 Aug 2026 • 4:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM512 juta mula dibina hujung 2027

SHAH ALAM, 7 OGOS: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 - Pakej 1 bernilai RM512 juta dijangka memasuki fasa pembinaan fizikal pada hujung tahun depan, selepas proses reka bentuk terperinci dan pengambilan tanah diselesaikan.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata reka bentuk terperinci projek berkenaan kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku keempat tahun ini, sebelum proses pengambilan tanah mengambil masa kira-kira setahun untuk diselesaikan.

Katanya, pengambilan tanah itu membabitkan anggaran kos RM166 juta dan dijangka selesai pada suku keempat 2027, membolehkan kerja fizikal projek dimulakan selepas tempoh berkenaan.

Image from: Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM512 juta mula dibina hujung 2027
EXCO Infrastruktur & Pertanian Dato' Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR

"Status pelaksanaan projek kini di peringkat reka bentuk terperinci yang mengambil masa sembilan bulan, siap pada suku keempat iaitu penghujung tahun ini. Selepas itu, diikuti pengambilan tanah yang mengambil masa setahun sehingga suku keempat 2027. Projek pelaksanaan fizikal dijangka bermula pada hujung tahun depan.

"Peruntukan RTB Sungai Langat Fasa 2 Pakej 1 bukan keseluruhan di daerah Hulu Langat. Kita akan lihat keperluan untuk meminta dana tambahan bagi kawasan di hiliran selepas Pakej 1 untuk menyambung ke daerah Sepang yang merupakan Pakej 2.

"Bagi Pakej 3 di Kuala Langat belum dapat peruntukan... kita kena lengkapkan dari RTB hulu sampai hilir. Proses akan berterusan, kita akan lihat kesan dan buat permohonan untuk lengkapkan RTB bagi keseluruhan lembangan Sungai Langat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Kajang, Cheong Kian Young, mengenai status terkini RTB Sungai Langat Fasa 2 - Pakej 1 pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 67 bulan dan merupakan sebahagian daripada usaha menangani masalah banjir berulang di kawasan Hulu Langat.

Sebelum ini, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan projek itu kini berada pada peringkat reka bentuk terperinci sebelum dilaksanakan secara konvensional selepas proses reka bentuk dan perolehan diselesaikan.

RTB Sungai Langat Fasa 2 - Pakej 1 yang diluluskan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), merangkumi pembinaan ban banjir, pintu kawalan air, sistem pam, kolam takungan banjir, jambatan serta kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Langat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved