amree21/07/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Julai – Adnex Group Berhad meraih subkontrak bernilai RM10.96 juta bagi projek reka bentuk dalaman dan kerja berkaitan di Sunway Square Corporate Tower 1, Subang Jaya, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, Adnex Interior Solution Sdn Bhd (AIS) memeterai perjanjian dengan JLL Project and Construction Management Sdn Bhd.
Tender tersebut bagi pelaksanaan projek untuk Hilti Asia IT Services Sdn Bhd, dengan melibatkan kerja-kerja reka bentuk dalaman, pemasangan serta kemasan ruang pejabat korporat pelanggan.
"Projek terbaharu berkenaan sudah bermula pada 21 Julai 2026 dan dijadualkan perlu siap menjelang 24 Disember 2026, dengan melibatkan tempoh pelaksanaan hanya selama lima bulan," jelas Adnex.
Selepas projek tersebut disiapkan, AIS turut akan menanggung tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan lagi bermula daripada tarikh Sijil Penyiapan Praktikal dikeluarkan oleh pihak berwajib.
Kontrak itu adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk terus mendapatkan projek baharu dan memperluaskan buku tempahan, serta menyokong pertumbuhan hasil serta keuntungan pada masa hadapan.
Menurut Adnex, pelaksanaan subkontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan, tanpa menjejaskan sebarang modal saham atau pegangan saham utama syarikat.
"Pada masa sama, syarikat menjelaskan risiko yang terlibat adalah risiko operasi biasa yang lazim, serta akan diuruskan melalui pemantauan dan pelaksanaan projek secara berkesan," tambahnya lagi.
AIS juga ujar kumpulab berkenaan perlu mematuhi segala dasar dan spesifikasi yang ditetapkan oleh JLL sepanjang tempoh pelaksanaan projek seperti yang diperincikan dalam perjanjian subkontrak.
Adnex memaklumkan pelaksanaan kontrak itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan, selain tiada kepentingan melibatkan pengarah, atau pihak yang berkaitan.
Lembaga Pengarah berpandangan pelaksanaan subkontrak itu demi kepentingan terbaik syarikat kerana mengukuhkan kedudukan dalam segmen reka bentuk dalaman yang semakin berkembang. - DagangNews.com






