Projek solar Metronic bernilai RM12 juta tergendala, dana terbitan RM51.7 juta masih belum digunakan

LocalBusiness & Finance
30 Jun 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek solar Metronic bernilai RM12 juta tergendala, dana terbitan RM51.7 juta masih belum digunakan Image from: Projek solar Metronic bernilai RM12 juta tergendala, dana terbitan RM51.7 juta masih belum digunakan amree30/06/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 JunMetronic Global Berhad menjelaskan projek solar utama di Kedah bernilai RM12 juta kini tergendala, menyebabkan sebahagian besar dana hasil terbitan hak masih belum digunakan.

 

Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, baki sebanyak RM51.7 juta daripada dana yang diperuntukkan bagi projek solar berkenaan masih belum lagi dibelanjakan setakat ini.

 

Ujarnya, projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan sekitar 80% tetapi tertangguh berikutan beberapa isu kontrak dengan pelanggan yang masih belum selesai dimuktamadkan sehingga kini.

 

"Kelewatan turut berpunca daripada semakan semula terma kontrak, khususnya kadar tarif susulan peningkatan kos pembinaan sebelum ini termasuk kenaikan harga peralatan import," kata Metronic.

 

Menurutnya, projek itu juga berdepan kekangan sumber manusia selepas peletakan jawatan jurutera projek dan beberapa kakitangan utama, selain tiada calon berkelayakan untuk menggantikan mereka.

 

Justeru, syarikat sedang bekerjasama dengan perunding sedia ada bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk meneroka kemungkinan kerjasama strategik atau penjualan terus projek kepada pihak lain.

Metronic_DagangNews2026

 

Selain itu, Metronic turut memaklumkan yang pihaknya sudah mendapatkan nasihat guaman bagi tujuan melindungi kepentingan syarikat berhubung pelbagai isu kontrak yang masih belum dapat diselesaikan.

 

"Syarikat kini menjalankan semakan strategik bagi menilai sama ada model perniagaan projek solar masih berdaya maju dari segi teknikal, ekonomi dan perundangan berdasarkan sumber semasa," katanya.

 

Bagi penggunaan dana terbitan hak secara keseluruhan, sebanyak RM26.27 juta dibelanjakan daripada jumlah keseluruhan RM77.97 juta menerusi terbitan hak dengan waran diselesaikan pada Julai 2022.

 

Daripada jumlah itu ujar Metronic, RM20 juta digunakan untuk membiayai projek-projek kejuruteraan termasuk modal kos buruh dan pembelian peralatan, dengan tahap kemajuan antara 90% hingga 100%.

 

Baki dana yang masih belum digunakan kini ditempatkan dalam bentuk deposit tetap di Maybank dan Koperasi Maal Nizami Negeri Selangor (KOMANI), sementara syarikat terus menilai langkah terbaik.

 

"Kumpulan ini berkeyakinan dapat memulihkan projek solar yang tergendala dan mengoptimumkan penggunaan dana terbitan hak tersebut," tambahnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved