Projek SSLR Fasa 2 bernilai RM7.6 bilion pacu ekonomi luar bandar Sabah dan Sarawak

11/09/2025 - 16:58
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Sept – Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR2) yang bernilai RM7.6 bilion akan menjadi pemacu ekonomi penting bagi kawasan luar bandar di kedua-dua negeri itu.
Laluan sepanjang 335 kilometer tersebut merangkumi Miri, Limbang, Lawas, dan Ba’kelalan yang meningkatkan industri pertanian serta eko-pelancongan setempat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu membolehkan penduduk luar bandar mengakses laluan domestik tanpa perlu melalui laluan antarabangsa (Brunei) sekali gus memudahkan pengangkutan barang dan perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
“SSLR2 menyediakan peluang ekonomi yang signifikan, memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar, dan membolehkan sektor agro dan pelancongan berkembang dengan lebih pesat,” katanya.

Pelancaran SSLR Fasa 2 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Projek itu disambung dari Fasa 1 di Lawas yang bermula pada 2021 dan telah mencapai 57.6 peratus siap setakat Julai 2025.
Majlis pelancaran itu juga menandakan permulaan pelaksanaan Pakej 2B dari Long Napir ke Nanga Medamit, yang diharap siap lebih awal daripada jadual asal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek itu akan memodenkan jaringan pengangkutan luar bandar, mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap jalan balak dan menyokong keterangkuman ekonomi serta perpaduan antara negeri.
“Kerajaan turut menekankan kepentingan pematuhan kontraktor, Maltimur Aktif Unggul Sdn Bhd, terhadap spesifikasi dan jadual projek, serta kerjasama komuniti bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa kelewatan.
“Projek SSLR2 juga dijangka meningkatkan nilai tanah setempat, membuka peluang pelaburan baru, dan menarik penggiat industri serta pelancong ke kawasan sekitar.
“Dengan kemajuan infrastruktur ini, kerajaan membuktikan komitmen berterusan untuk membangunkan kawasan luar bandar, mewujudkan peluang pekerjaan, dan memperkukuh ekonomi negeri-negeri di Pantai Timur Borneo,” katanya.
Selain manfaat ekonomi, laluan ini turut menyumbang kepada pengukuhan kesalinghubungan negeri, memudahkan perjalanan antara Sarawak dan Sabah, dan meningkatkan tahap keselamatan serta kecekapan pengangkutan.- DagangNews.com
featured standard

