
KOTA MARUDU: Program khas Aku Kasih Malaysia @ Sabah menjadi platform kepada kerajaan untuk mendengar sendiri suara dan keluhan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, program itu turut merangkumi sesi dialog bersama pemimpin masyarakat dan penduduk setempat bagi membincangkan isu yang dihadapi, khususnya di Kota Marudu.
“Antara isu yang dibangkitkan masyarakat ialah masalah banjir yang serius. Cadangan pelaksanaan projek tebatan banjir sudah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi dan kementerian berkaitan.
“Saya percaya program seperti ini membolehkan kita mendengar sendiri keluhan mangsa banjir dan kita akan berusaha menangani masalah itu secepat mungkin serta memastikan projek tebatan banjir diberi keutamaan.
“Kita juga membawa perkhidmatan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memberikan maklumat penting kepada masyarakat mengenai inisiatif dan insentif yang disediakan untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Jangkauan Aku Kasih Malaysia @ Sabah di sini, Sabtu.
Sementara itu, Mustapha berkata kerajaan sedang berusaha mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional dan tidak mahu program berkaitan MA63 hanya tertumpu kepada masyarakat Sabah dan Sarawak.
Katanya, satu program akan dianjurkan di Semenanjung Malaysia menerusi Karnival Madani Kenali Borneo.
“Kita mahu masyarakat di Semenanjung Malaysia memahami maksud sebenar MA63 dan mengapa kita memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.
“Antara aktiviti yang dirancang ialah memperkenalkan budaya Sabah, berkongsi kisah masyarakat di Sabah dan Sarawak serta mempamerkan cara hidup kita di sini.
“Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita saling menghormati dan hidup harmoni sebagai sebuah masyarakat.
“Kita mahu mengetengahkan tema perpaduan dalam kepelbagaian dan karnival ini akan bermula di Melaka,” katanya.
Mustapha berharap semua aktiviti dan program yang dianjurkan dapat memberi manfaat kepada peserta serta membawa kesan positif kepada masyarakat secara keseluruhan.
Program itu menampilkan 21 reruai pameran oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada orang ramai. Ia dihadiri kira-kira 600 peserta terdiri daripada penjawat awam, anggota masyarakat dan golongan belia dari sekitar Kota Marudu.
Terdahulu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan tradisional, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, aktiviti interaktif kesedaran kenegaraan serta ceramah ringkas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ).
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda; Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), Zaidi Jatil.

