Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dikuatkuasakan serta-merta

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 8:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dikuatkuasakan serta-merta

SEREMBAN: Proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diputuskan untuk dikuatkuasakan serta-merta.

Keputusan itu dibuat oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin susulan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menandatangani proklamasi berkenaan pada 3 Ogos lalu.

Menurut kenyataan Sidang Khas dan Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 UUTKNS, penguatkuasaan itu bagi memelihara kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan.

“Dengan penurunan tandatangan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos 2026 kepada proklamasi yang diperbuat pada 19 April 2026, maka Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin memutuskan bahawa proklamasi ini perlu dikuatkuasakan dengan serta-merta.

“Ia demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” kata kenyataan bertarikh 5 September itu.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan semua ahli pentadbiran kerajaan negeri disabdakan supaya mematuhi proklamasi tersebut dengan serta-merta serta menjunjung keluhuran Perlembagaan tanpa berbelah bahagi.

Kenyataan itu memaklumkan, semua Undang Yang Empat menandatangani proklamasi berkenaan berserta cop mohor masing-masing pada 19 April lalu bagi mengisytiharkan penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Ismail kemudiannya menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi tersebut ketika menghadap Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.

Majlis itu turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

Proklamasi yang ditandatangani Ismail menyatakan tindakan itu dibuat bagi memenuhi kehendak Perkara 10(2) UUTKNS dan melaksanakan peruntukan berkenaan.

Kenyataan sama turut menegaskan bahawa Tuanku Muhriz tidak pernah mencabar kesempurnaan penurunan takhta baginda pada 19 April lalu mengikut Perkara 10(2) UUTKNS di mahkamah.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut mendakwa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu adalah tidak sah kerana dipanggil oleh bekas Yang di-Pertuan Besar tanpa kehadiran Undang Yang Empat yang disahkan mengikut Perkara 16(3) UUTKNS dalam rekod rasmi setakat 30 Julai lalu.

Mesyuarat berkenaan juga didakwa berlangsung tanpa kehadiran Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

Justeru, kenyataan itu menegaskan kemuafakatan Undang Yang Empat dalam menjalankan prerogatif di bawah Perkara 10(2) UUTKNS pada 19 April lalu adalah sempurna mengikut undang-undang Perlembagaan.-UTUSAN.

The post Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dikuatkuasakan serta-merta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved