Promosi judi online: Pempengaruh terselamat hukuman penjara, dikenakan bon berkelakuan baik

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Promosi judi online: Pempengaruh terselamat hukuman penjara, dikenakan bon berkelakuan baik
Tertuduh (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Marang pada Rabu.

​MARANG – Seorang pempengaruh wanita terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret di sini pada Rabu memerintahkannya menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM2,000 atas kesalahan mempromosikan perjudian dalam talian (online).

​Keputusan itu dibuat Majistret Nur Athirah Hashim terhadap tertuduh, Nur Syakilla Natasya Sukri, 20, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

​Mahkamah membuat pertimbangan tersebut selepas meneliti laporan sosial yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta rayuan dikemukakan pihak pembelaan.

​Terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa laporan sosial berkenaan disediakan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Shahrizal Ali memandangkan tertuduh berusia bawah 21 tahun dan dikategorikan sebagai pesalah muda.

​Ia bertujuan membantu mahkamah menilai latar belakang, keadaan diri serta faktor-faktor yang wajar dipertimbangkan sebelum hukuman dijatuhkan.

​Berdasarkan laporan itu, hasil siasatan mendapati tertuduh mengalami kecederaan paha sehingga tidak mampu melakukan kerja berat.

​Laporan sama turut menyatakan tertuduh seorang yang kurang bergaul, tidak mempunyai ramai rakan dan jarang keluar rumah, selain pihak JKM memberi jaminan bahawa keluarganya mampu mengawal serta memantau tingkah lakunya.

​Mengikut pertuduhan, Nur Syakilla didakwa mempromosikan perjudian dalam talian yang mempunyai elemen pertaruhan atau promosi perjudian kira-kira jam 12.45 tengah hari, 23 Januari lalu di kawasan Pasar Marang.

​Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

​Mahkamah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama tertuduh sebelum menetapkan hukuman bon berkelakuan baik berkenaan.

​Mahkamah turut berharap hukuman itu memberi peluang kedua kepadanya, selain menjadi peringatan kepada pempengaruh media sosial lain supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan bagi mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian.

Pendakwa kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sarah Syamimi Shafie manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Ramlan Taib.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved