
JOHOR BHARU, 23 MEI: Proses pemilihan kepimpinan baharu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang berlangsung serentak mulai 8 pagi tadi lancar, kata ketua penerangannya.
Menurut Datuk Fahmi Fadzil, tiada sebarang aduan diterima setakat 10.45 pagi tadi, terutama membabitkan rangkaian internet ketika pengundian berlangsung.
“Semua perwakilan diminta mengikut waktu ditetapkan bagi melaksanakan proses undian. Ini bagi mengelakkan kesesakan. Keputusan awal dijangka dikeluarkan selepas 9 malam ini.

“(Keputusan rasmi) akan dimaklumkan Setiusaha Agung Dr Fuziah Salleh esok,” katanya selepas meninjau proses pemilihan di Pusat Konvensyen Danga Bay dekat sini.
Proses sehingga 5 petang ini bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian.
Ia dijalankan menerusi dua kaedah, secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan dilaksanakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.
Sementara itu, perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi Kongres Pusat, AMK Pusat dan Wanita Pusat akan mengundi secara dalam talian pada masa sama menerusi aplikasi ADIL.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
The post Proses undian KEADILAN lancar, perwakilan diminta patuhi masa appeared first on Selangorkini.



