Prospek jangka panjang Scientex diperkukuh permintaan rumah mampu miliknya – RHB Investment
diyana
21/06/2023 - 11:24
KUALA LUMPUR 21 Jun – Pendapatan Scientex Berhad pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) dalam jangkaan, didorong oleh permintaan kukuh untuk tawaran rumah mampu miliknya yang mengimbangi penurunan jualan pembungkusan.
RHB Investment berkata ia terus menyukai saham kumpulan itu kerana penilaian menarik dan prospek jangka panjang yang kukuh, disokong oleh permintaan stabil untuk rumah mampu milik dan kedudukan utamanya dalam segmen pembungkusan plastik.
“Hasil kewangan 3QFY23 secara amnya sejajar dengan jangkaan pada 71% dan 70% daripada anggaran tahun penuh kami dan Street.
“Sumbangan daripada segmen pembungkusan terus merosot secara berurutan disebabkan permintaan global lebih lemah dan kos tenaga lebih tinggi, tetapi ini telah diimbangi oleh segmen hartanah yang bertambah baik,” katanya dalam nota hari ini.
Permintaan kukuh dalam segmen hartanah menyebabkan firma itu optimis bahawa Scientex berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pelancaran hartanahnya sebanyak RM2 bilion untuk tahun kewangan 2023 (FY23).
“Kadar tempahan 80% untuk pelancaran baharunya menunjukkan permintaan untuk rumah mampu milik kekal sihat.
“Justeru, kami terus menjangkakan segmen hartanah menjadi pemacu utama pendapatan dalam tempoh terdekat,” tambahnya.
Walaupun permintaan global untuk produk pembungkusan kekal perlahan dalam tempoh terdekat, firma penyelidikan itu percaya sebahagiannya akan diimbangi oleh jualan teguh daripada subsegmen pembungkusan pengguna.
Pada masa yang sama, Scientex terus berinovasi dengan produk baharu dihasilkan secara mampan, di mana firma itu berpendapat ia mungkin akan memacu pertumbuhan jualan pada masa hadapan.
RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.80 sesaham.
Setakat pukul 11.:15 pagi ini, saham Scientex susut 2 sen atau 0.6% kepada RM3.39, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM5.26 bilion. -DagangNews.com

