Prospek jangka pendek Chin Well kekal mencabar kesan kelembapan ekonomi global – PublicInvest
diyana
13/06/2023 - 11:59
KUALA LUMPUR 13 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati dengan prospek jangka pendek Chin Well Holdings Berhad dengan jangkaan tekanan margin berikutan penurunan harga jualan purata (ASP) dan peningkatan kos operasi.
Jelasnya, pengurusan kumpulan menjangkakan pendapatan kekal tertekan berikutan pertumbuhan ekonomi global perlahan, terutamanya pasaran Eropah, dan ASP yang lebih rendah disebabkan persaingan harga dari China selepas pembukaan semula sempadan negara.
“Kami mengurangkan ramalan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kami dengan purata 10% untuk mengambil kira kelemahan permintaan dan ASP serta margin yang lebih rendah,” kata firma penyelidikan itu.
Namun begitu, firma itu berkata pihak pengurusan menjangkakan inventori lebihan stok di pasaran Eropah berkurangan, dengan aktiviti penyimpanan semula akan meningkat menjelang akhir 2023.
Menurut PublicInvest, terdapat juga tanda-tanda peningkatan permintaan dalam pasaran domestik, dirangsang oleh projek pembinaan di Malaysia, iaitu Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).
Melangkah ke hadapan, katanya, Chin Well akan terus memberi tumpuan kepada segmen DIY dan pengembangan produk baharu dalam pasaran hiliran bagi menampung permintaan yang semakin lemah dan tekanan margin.
Mengulas mengenai persediaan Chin Well untuk peningkatan pasaran, firma itu berkata kadar penggunaan kapasiti semasa kumpulan adalah di bawah purata jangka panjangnya sekitar 30%.
“Pihak pengurusan mengambil peluang untuk melakukan penyelenggaraan besar-besaran dan menaik taraf kemudahannya untuk sementara waktu dan menambah stok,” tambahnya.
PublicInvest berkata Persatuan Keluli Sedunia meramalkan permintaan untuk tahun ini melantun semula 2.3% dan berkembang 1.7% pada 2024.
Oleh itu, firma itu berpendapat bahawa aktiviti pembuatan dijangka menerajui pemulihan, walaupun kadar faedah yang tinggi akan terus mempengaruhi permintaan keluli.
Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.17 sesaham daripada RM1.24 sebelumnya.
Setakat pukul 11:50 pagi ini, saham Chin Well susut 1 sen atau 0.8% kepada RM1.31 dengan modal pasaran bernilai RM392.4 juta. -DagangNews.com


