Prospek jangka pendek BP Plastics tetap mencabar akibat kelembapan ekonomi global, PublicInvest kekalkan unjuran pendapatan
diyana
23/08/2023 - 11:29
KUALA LUMPUR 23 Ogos - Prospek jangka pendek BP Plastics Holding Bhd masih terkesan oleh kelemahan global yang berterusan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi dan kekangan keadaan pasaran kewangan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Keuntungan bersih kumulatif kumpulan itu bagi separuh pertama dalam tahun kewangan 2023 (1HFY23) sebanyak RM18.2 juta adalah melebihi jangkaan PublicInvest dan konsensus, masing-masing pada 60.1% dan 57.0% daripada anggaran tahun penuh.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran [pendapatan] memandangkan prospek jangka pendek kumpulan mungkin terus tercabar oleh permintaan yang lemah untuk pembungkusan perindustrian berikutan kelembapan ekonomi global,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) RM1.46 sesaham.
Walaupun menghadapi cabaran, firma tersebut berkata terdapat tanda-tanda peningkatan beransur-ansur dalam persekitaran operasi bagi jangka sederhana hingga jangka panjang.
Jelasnya, inflasi utama telah jatuh dalam kebanyakan ekonomi disebabkan kejatuhan harga tenaga, sementara harga resin dan kadar pengangkutan kembali ke paras sebelum pandemik memandangkan rantaian bekalan di seluruh dunia kian pulih.
“Kumpulan itu terus komited untuk melabur dalam teknologi canggih dan mengembangkan bahagian pasaran. Dengan penambahan dua unit mesin Blown Co-extrusion menjelang akhir 2023, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kepada 12,200 tan metrik sebulan,” katanya.
Pada waktu penulisan, saham BP Plastics didagangkan pada RM1.24, susut 2 sen atau 1.6% dengan permodalan pasaran bernilai RM349.1 juta. - DagangNews.com

