liza07/09/2026 - 12:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – Prospek jangka pendek LGMS Berhad masih lemah susulan pertumbuhan yang perlahan dalam segmen pencegahan risiko siber serta pengurusan dan pematuhan selain peningkatan kos pekerja dan teknologi maklumat ,kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun prestasi LGMS dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), momentum pertumbuhan keseluruhan masih berdepan tekanan berikutan permintaan yang lebih sederhana bagi beberapa perkhidmatan keselamatan siber.
Firma itu berkata LGMS mencatatkan keuntungan selepas cukai teras sebanyak RM1.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), turun 13.7% tahun ke tahun manakala keuntungan bagi 1HFY26 berjumlah RM3.9 juta, susut 0.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Prestasi itu terjejas akibat peningkatan perbelanjaan manfaat pekerja sebanyak 9.1% dan perbelanjaan teknologi maklumat sebanyak 36.7%, selain sumbangan lebih rendah daripada segmen pematuhan yang merosot 21.3% dan tindak balas terhadap insiden siber yang turun 32.6%.
“Pertumbuhan bagi segmen pencegahan risiko siber serta pengurusan dan pematuhan dijangka kekal sederhana pada 2HFY26, kerana pelanggan cenderung menangguhkan perbelanjaan keselamatan siber sehingga berlaku insiden keselamatan sebenar,” katanya dalam nota kajian.
Permintaan Insiden Siber Beri Ruang Pemulihan
Namun, LGMS dijangka mencatat pemulihan lebih baik pada 2HFY26, disokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan tindak balas terhadap ancaman dan insiden siber.
Menurut Malacca Securities, LGMS sedang melihat peningkatan trend dalam segmen berkenaan susulan pertambahan kes pelanggaran keselamatan siber, ketika penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam kalangan syarikat perniagaan terus berkembang.
Keadaan itu dijangka mendorong lebih banyak syarikat mendapatkan khidmat LGMS untuk mengendalikan insiden keselamatan, termasuk kerja forensik dan tindak balas terhadap pelanggaran data.
Selain itu, prestasi 2HFY26 turut dijangka mendapat manfaat daripada bil projek yang lazimnya meningkat menjelang penghujung tahun kewangan, sekali gus membantu mengimbangi kelemahan dalam segmen lain.
Bagaimanapun, Malacca Securities mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap trajektori LGMS dalam tempoh terdekat kerana pemulihan dalam segmen tindak balas insiden masih perlu mengimbangi pertumbuhan yang lebih lembap dalam perkhidmatan pencegahan risiko siber dan pematuhan.
Prospek Jangka Panjang Masih Kukuh
Dalam jangka panjang, firma itu masih melihat pelaburan LGMS dalam AI dan teknologi sebagai penting bagi pertumbuhan syarikat kerana ia berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Walaupun manfaat daripada pelaburan tersebut terhadap kecekapan operasi dan pemulihan margin masih belum jelas dari segi tempoh masa, kami percaya perubahan ke arah penggunaan teknologi adalah penting untuk menyokong pertumbuhan LGMS dalam jangka panjang.
“Sumbangan daripada Antarex Holdings turut memberikan sokongan kepada prospek LGMS, dengan syarikat itu memiliki 27% kepentingan dalam Antarex dan berhak kepada kira-kira RM6.6 juta daripada jaminan keuntungan RM24.5 juta bagi tempoh FY26 hingga FY28.
“Bagaimanapun, keuntungan daripada Antarex dijangka lebih banyak diiktiraf pada bahagian akhir tempoh tiga tahun itu kerana pengiktirafan keuntungan bergantung kepada jadual pelaksanaan projek,” katanya.
Susulan prospek jangka pendek yang lebih sederhana, Malaca Securities menurunkan unjuran keuntungan selepas cukai teras LGMS bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 15.6%, 21.7% dan 18.4%, kepada RM10.3 juta, RM10.8 juta dan RM12 juta.
Firma itu turut menurunkan sasaran harga LGMS kepada RM0.70 daripada RM0.93, berdasarkan gandaan harga kepada keuntungan (P/E) lebih rendah sebanyak 30 kali berbanding 35 kali sebelum ini.
Namun ia mengekalkan saranan Beli kerana sasaran baharu itu masih menunjukkan potensi kenaikan 45.8% daripada harga saham RM0.48. - DagangNews.com





