Prospek KJTS diunjur stabil dengan lebih 70% pendapatan dijana secara berulang - Maybank IB

15/04/2025 - 17:01
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 15 April — KJTS Group Berhad diunjur sudah mampu merekodkan pertumbuhan stabil dengan lebih 70 peratus daripada pendapatan kumpulan tersebut dijana secara berulang, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, kejayaan penyedia perkhidmatan sokongan bangunan bersepadu itu berdasarkan kepada model perniagaan syarikat yang menawarkan keterlihatan pendapatan kukuh dan jaminan kestabilan kewangan.
Selain itu katanya, perniagaan KJTS dalam aktiviti perkhidmatan rumusan tenaga penyejuk, operasi pembersihan dan pengurusan kemudahan boleh diskalakan serta mudah disalin semula syarikat berkenaan di seluruh Asia Tenggara.
"Seperti yang sedia ada, KJTS sudah memperoleh lebih daripada 26 peratus hasil perolehan dari luar negara dengan sistem tenaga penyejuk pelanggannya boleh dipautkan kepada Pusat Perintah Pusat," kata Maybank IB dalam nota kajiannya
Keadaan tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, menggalakkan pergantungan luas pada kumpulan itu, manakala peranan proaktifnya dalam pemuliharaan tenaga menjadikan amalan alam sekitar, social dan tadbir urus (ESG) yang hebat.
Pengambilalihan Malakoff Utilities Sdn Bhd katanya, turut mempercepatkan syarikat itu menyejukkan pemilikan aset tenaga secara bukan konsesi, dan ini akan ditambah melalui usaha sama 10:90 dengan Stonepeak Kelvin Holdings.
Dengan potensi pelaburan yang disasarkan sebanyak RM1.5 bilion, usaha sama tersebut kata Maybank IB, membolehkan KJTS bersedia untuk mengembangkan lagi portfolio aset penyejuknya dari semasa ke semasa tanpa masalah besar.
Sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) serta operasi dan penyelenggaraan (O&M) kepada JV itu, ini merupakan model perniagaan ringan aset yang menyediakan KJTS dengan asas pendapatan berulang.
"Hasil dan keuntungan bersih KJTS juga terbukti telah berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) dari tempoh FY20 sehingga FY24 masing-masing sebanyak 17 peratus dan 30 peratus," katanya.
Firma penyelidikan itu menganggarkan keuntungan bersih kumpulan berkenaan pada FY25 dan FY26 masing-masing boleh mencecah sebanyak RM32.4 juta dan RM40.8 juta ketika harga saham semasanya hanya adalah 99 sen.
Bagaimanapun ia tidak membuat sebarang saranan kepada pelabur yang berminat terhadap potensi KJTS dan meletakkan harga sasaran yang boleh meningkat kepada RM1.00 sesaham. - DagangNews.com
standard
