Kadar pengangguran 2025 kekal stabil pada 3.1%, terendah sejak Mei 2015 - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
14 Apr 2025 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kadar pengangguran 2025 kekal stabil pada 3.1%, terendah sejak Mei 2015 - Maybank IB

image is not available

14/04/2025 - 10:52

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Kadar pengangguran pada Februari 2025 kekal stabil pada 3.1% dan ia merupakan kadar terendah sejak Mei 2015, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Katanya, bilangan penganggur terus menurun sebanyak 4.3% tahun ke tahun (YoY) dan 0.2% bulan ke bulan (MoM) (Februari 2025: 532,500; Januari 2025: 534,00), manakala pertumbuhan dalam pekerjaan meningkat (Februari 2025: 2.9% YoY; Januari 2025: 2.8% YoY), dan kadar penyertaan tenaga buruh menunjukkan sedikit peningkatan pada Februari (Februari 2025: 70.7%; Januari 2025: 70.6%).

Firma penyelidikan itu berkata, nisbah pekerjaan kepada populasi turut meningkat kepada 68.5% pada Februari 2025 berbanding 68.2% dalam tempoh yang sama tahun lalu (Jan-2025: 68.5%).

"Berdasarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), pertumbuhan pekerjaan didorong sektor perkhidmatan yang sebahagian besarnya disumbang oleh aktiviti penginapan dan makanan & minuman, borong & runcit, seni, serta maklumat & komunikasi.

"Sektor pekerjaan lain yang turut menyumbang pada bulan tersebut termasuk pembuatan, pembinaan dan pertanian, manakala bilangan individu yang bekerja dalam sektor perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan," katanya dalam satu nota kajian.

Maybank IB berkata, pemberhentian pekerja meningkat semula pada awal tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 8.6% YoY dan 38.0% MoM kepada 6,275 orang manakala sepanjang 2024, jumlah pemberhentian pekerja meningkat sebanyak 15.6% YoY kepada 57,794 orang.

"Namun begitu, kadar pengangguran yang kekal rendah dan stabil – yang selari dengan keadaan “guna tenaga penuh” – serta penurunan bilangan penganggur menunjukkan bahawa pekerja yang diberhentikan berjaya mendapatkan pekerjaan baharu atau telah keluar daripada tenaga buruh sepenuhnya dengan tidak lagi aktif mencari pekerjaan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangguran belia kekal stabil pada 10.3% pada Februari 2025 dengan mencatatkan seramai 298,900 belia menganggur, namun masih melebihi paras terendah pra pandemik iaitu 9.9% pada Disember 2019.

Segmen pekerjaan tidak formal iaitu pekerja sendiri (seperti penjaja kecil, peniaga makanan, pengusaha gerai, pekebun kecil, bekerja sendiri dan pekerja gig) meningkat secara berterusan sejak Januari 2021 (2.39 juta), dan mencapai paras tertinggi baharu sebanyak 3.13 juta pada Februari 2025, apabila pertumbuhannya terus mengatasi pertumbuhan pekerjaan keseluruhan.

Maybank IB mengekalkan unjuran kadar pengangguran untuk sepanjang 2025 berada pada kadar 3.2% berbanding 3.3 pada tahun lalu.

Katanya, pasaran pekerjaan yang berada dalam keadaan “guna tenaga penuh” dari sudut kadar pengangguran, disertai dengan langkah-langkah Belanjawan 2025 untuk meningkatkan pendapatan pekerja – iaitu Fasa 1 kenaikan gaji penjawat awam pada 1 Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 (daripada RM1,500) bermula 1 Februari 2025 – memberikan prospek yang positif terhadap perbelanjaan pengguna.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan penggunaan swasta sebenar akan berkembang sebanyak 5.5% pada 2025," katanya.- DagangNews.com

standard