hamden30/04/2026 - 10:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 April - Prospek harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih kukuh mendorong penganalisis mengekalan saranan ‘Beli’ ke atas saham Johor Plantations Group (JPG) dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.15 berbanding RM1.90 sebelum ini.
RHB Research berkata, penilaian tersebut mencerminkan potensi kenaikan sekitar 16% serta jangkaan hasil dividen kira-kira 4% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F).
Katanya, berdasarkan senario paling asas iaitu gencatan senjata di Timur Tengah dijangka berterusan tanpa ketegangan semula, ia berpotensi menstabilkan harga CPO pada paras RM4,200 hingga RM4,500 satu tan.
"Situasi ini juga menunjukkan mandat biodiesel yang lebih tinggi masih dilaksanakan, sekali gus mengetatkan bekalan minyak sayuran global dengan nisbah stok kepada penggunaan dijangka berada di bawah purata sejarah menjelang 2026," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, jurang harga minyak sawit-gasoil (POGO) kembali positif, walaupun kecil pada sekitar AS$11.70 setong, berbanding negatif AS$43 setong pada akhir Mac.
Pada paras tersebut, dana biodiesel Indonesia dijangka masih mencukupi untuk menyokong pelaksanaan campuran biodiesel B50, manakala permintaan biodiesel tambahan sehingga 3 juta tan setahun berpotensi kembali sekiranya jurang POGO bertukar negatif.
Impak Geopolitik
Dari sudut geopolitik, senario asas dengan kebarangkalian 60% menjangkakan harga minyak mentah akan stabil pada paras pertengahan AS$80 setong, manakala harga CPO diunjurkan sekitar RM4,300 hingga RM4,500 satu tan.
Paras ini membolehkan pelaksanaan mandat biodiesel yang lebih tinggi terus kekal berdaya maju.
Selain itu, pelaksanaan separuh tahun biodiesel B50 di Indonesia dijangka menurunkan nisbah stok/penggunaan minyak sayuran global ke bawah paras sejarah, sekali gus menyokong daya tahan harga CPO berbanding minyak mentah.
Dalam masa sama, risiko fenomena El Nino turut meningkat, dengan kebarangkalian mencecah 93% bagi tempoh September hingga November 2026, yang boleh menjejaskan bekalan minyak sawit global sekiranya berlaku dengan kuat.
Bagaimanapun, beberapa risiko penurunan masih wujud termasuk kemerosotan permintaan, peningkatan kos, pertambahan pengeluaran kacang soya serta kemungkinan penyelesaian tarif perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Sehubungan itu, unjuran harga CPO dinaikkan kepada RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,300 bagi 2027.
Pada masa sama, unjuran pendapatan JPG turut disemak naik antara 10% hingga 13% bagi tempoh FY26 hingga FY28, disokong oleh andaian kadar tukaran asing yang dikemas kini. - DagangNews.com




