Prospek pendapatan, jualan hartanah baharu Glomac positif dalam FY24 – MIDF Research

Business & Finance
3 Oct 2023 • 11:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pendapatan, jualan hartanah baharu Glomac positif dalam FY24 – MIDF Research

diyana

03/10/2023 - 11:47

KUALA LUMPUR 3 Okt - Prospek pendapatan dan jualan hartanah baharu Glomac Berhad positif dalam tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24), menurut MIDF Research.

Susulan pertemuan dengan pengurusan Glomac, firma penyelidikan itu berkata pendapatan kumpulan itu dijangka lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24) disebabkan pengebilan kemajuan dalam jualan belum dibilkan telah meningkat.

Tambahnya, jualan belum dibil kumpulan itu berjumlah RM497 juta pada 1QFY24, sementara pengebilan kemajuan dijangka bergerak pantas memandangkan isu kekurangan buruh telah diselesaikan.

Di samping itu, Glomac melaporkan jualan hartanah baharu yang menggalakkan sebanyak RM101 juta pada 1QFY24, lebih tinggi daripada jualan baharu RM52 juta pada 1QFY23.

“Melihat ke hadapan, pengurusan menjangkakan momentum jualan baharu akan lebih kukuh pada 2HFY24 terutamanya disebabkan pelancaran sulung Loop City di Puchong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM338 juta,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain pelancaran fasa pertama Loop City pada Oktober atau awal November, firma itu berkata Glomac juga akan melancarkan projek di perbandaran sedia ada Lakeside Residence dengan GDV RM288 juta.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan jualan hartanah baharu pada FY24 akan melepasi jualan baharu berjumlah RM302 juta pada FY23. Jualan hartanah yang kukuh sepatutnya menyokong pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata nisbah hutang kepada ekuiti (penggearan bersih) Glomac adalah rendah pada 0.12 kali pada 1QFY24 berbanding 0.23 kali dalam 1QFY23.

“Pengurusan berpandangan bahawa penggearan bersih Glomac yang rendah menyediakan ruang hutang untuk pelaksanaan perbankan tanah pada masa hadapan.

“Oleh itu, Glomac sedang mencari tanah khususnya di Lembah Klang. Kami melihat potensi perbankan tanah untuk terus menyokong pendapatan dan prospek jualan baharu untuk Glomac pada masa hadapan,” ujar firma itu.

MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 47 sen sesaham

Pada pukul 11:44 pagi ini, saham Glomac tidak berubah pada 37 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM296 juta. - DagangNews.com