Prospek pertumbuhan kukuh YTL Corporation dorong MBSB Research naikkan harga sasaran kepada RM3.44 sesaham

Business & Finance
24 Apr 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pertumbuhan kukuh YTL Corporation dorong MBSB Research naikkan harga sasaran kepada RM3.44 sesaham Image from: Prospek pertumbuhan kukuh YTL Corporation dorong MBSB Research naikkan harga sasaran kepada RM3.44 sesaham amree24/04/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 April – Prospek pertumbuhan perniagaan kukuh dalam jangka panjang menjadi faktor utama YTL Corporation Berhad terus mendapat penarafan yang positif daripada MBSB Research.


Situasi berkenaan menurut firma penyelidikan tersebut, disokong faktor lonjakan sektor prasarana serta kemasukan agresif ke dalam kerja segmen pusat data (DC) dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Justeru, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat berkenaan dengan menaikkan harga sasaran (TP) yang berasaskan jumlah bahagian (SOTP) kepada RM3.44 berbanding RM3.26 sebelum ini.


"Penilaian terbaharu ini ditetapkan setelah kami turut mengambil kira semakan TP ke atas YTL Power International Berhad dan Malayan Cement Berhad," jelas MBSB Research dalam nota analisisnya.


Menurutnya, YTL Corporation berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan kitaran naik sektor pembinaan selain meraih manfaat permintaan tinggi terhadap DC dan RE melalui divisyen utilitinya.


Segmen simen dan bahan binaan kumpulan ini katanya, dijangka menerima tempias positif projek DC, gudang, serta kediaman, khususnya dengan kemunculan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Ujar MBSB Research, kumpulan itu melalui anak syarikatnya, YTL Cement Berhad mengemukakan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat (MTO) ke atas Concrete Engineering Products Berhad (CEPCO).

 

YTL Corporation_DagangNews


"Langkah ini dibuat selepas syarikat tersebut mengambil alih 53.49% ekuiti bernilai RM103.8 juta, dengan tawaran kepada baki 46.51% saham berpotensi melibatkan tambahan RM90.2 juta," jelasnya.


Pengambilalihan itu memperkukuh strategi integrasi menegak YTL Cement dengan menambah keupayaan segmen produk konkrit pratuang bagi kerja substruktur, sekali gus melengkapkan operasi sedia ada.


Permintaan pula kata MBSB Research, dijangka kekal kukuh dalam jangka panjang, disokong keperluan kecekapan pembinaan, tempoh siap kerja lebih pantas dan produktiviti tinggi merentasi projek.


Tambah firma penyelidikan berkenaan lagi, dari sudut penilaian, CEPCO mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM19.5 juta bagi tahun kewangan 2025, dengan pendapatan sesaham (EPS) kira-kira 26.1 sen. 


"Harga tawaran RM2.60 mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 10 kali, yang disifatkan munasabah kerana Malayan Cement diniagakan pada kira-kira 16 kali PER hadapan setahun," ujarnya.


Secara keseluruhan, MBSB Research melihat pengambilalihan CEPCO sebagai langkah strategik positif yang bakal mengukuhkan ekosistem bahan binaan hiliran YTL Corporation sendiri. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article