Prospek sektor hartanah Selangor stabil dan positif, Puchong jadi tumpuan – MIDF Research

20 Mar 2024 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek sektor hartanah Selangor stabil dan positif, Puchong jadi tumpuan – MIDF Research

diyana

20/03/2024 - 09:50

KUALA LUMPUR 20 Mac - Prospek sektor hartanah di Selangor adalah stabil dan positif, disokong oleh kestabilan harga rumah dan kebimbangan yang berkurangan terhadap lebihan bekalan kediaman, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pasaran hartanah Selangor kelihatan positif berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), yang menunjukkan Indeks Harga Rumah (HPI) Selangor berada dalam trend menaik, disokong oleh permintaan berdaya tahan untuk hartanah di Selangor dan pemulihan sektor hartanah di Malaysia.

HPI untuk Selangor berada pada 224.2 dalam suku ketiga 2023, meningkat daripada 220.5 dalam suku sebelumnya dan merekodkan pertumbuhan dalam tiga suku berturut-turut pada suku pertama hingga suku ketiga 2023.

Sementara itu, landskap hartanah Selangor semakin baik, dibuktikan dengan kediaman tidak terjual yang lebih rendah di Selangor, berkurang kepada 4,228 unit pada suku keempat 2023 daripada 4,500 unit dalam suku sebelumnya.

“Kami percaya bahawa penurunan berterusan dalam kediaman tidak terjual adalah positif bagi sektor hartanah di Selangor kerana ia mengurangkan kebimbangan mengenai lebihan bekalan di hartanah kediaman,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, Puchong yang dahulunya tempat perlombongan kini telah menjadi sebuah bandar matang di Lembah Klang yang telah menarik minat pembeli rumah, disokong oleh kedekatannya dengan pusat bandar Kuala Lumpur.

image is not available
Syarikat hartanah utama di Puchong. [Foto MIDF Research

Selain itu, pembangunan Cyberjaya dan Putrajaya juga meningkatkan daya tarikan Puchong, di samping rangkaian jalan dan transit aliran ringan (LRT) serta kepelbagaian kemudahan di bandar itu.

“Memandangkan pembandaran Puchong semakin hampir matang dan tanah semakin berkurangan di Lembah Klang, pemaju merancang untuk projek berkepadatan lebih tinggi seperti kondominium dan bukannya hartanah bertanah untuk memaksimumkan nilai pembangunan tanah,” jelasnya.

MIDF Research kekal positif terhadap sektor hartanah kerana ia menjangkakan sektor itu akan terus memacu jualan dan pendapatan baharu pemaju hartanah, manakala tinjauan harga hartanah di Malaysia dijangka kekal positif berikutan minat belian yang sihat.

Pilihan utamanya untuk sektor ini merangkumi Mah Sing Group Berhad (beli, TP: RM1.23) dan Matrix Concepts Holdings Berhad (beli, TP: RM1.91).

Firma itu berkata Mah Sing menjadi pilihan kerana strategi pemulihan pantas dan pendedahan tinggi kepada rumah mampu milik melalui projek M-series. Di samping itu, kehadirannya yang semakin meningkat dalam segmen hartanah industri akan menyokong pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana hingga panjang.

Sementara itu, jualan baharu Matrix Concepts kekal menggalakkan manakala pengembangan bank tanah di Labu akan meningkatkan lagi pertumbuhan pendapatan. Selain itu, hasil dividen kumpulan itu menarik pada 5.4%. - DagangNews.com