Prospek Wasco menyerlah, RHB Investment mulakan liputan dengan saranan beli dan harga sasaran RM1.43
diyana
18/01/2024 - 09:42
KUALA LUMPUR 18 Jan - RHB Investment memulakan liputan ke atas Wasco Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.43 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2024 (FY24) min lima tahun sebanyak 11 kali dan termasuk diskaun ESG 4%, kenaikan 42% dari harga penutup semalam pada RM1.01.
Firma penyelidikan itu berkata syarikat penyedia perkhidmatan rumusan tenaga itu memiliki prospek cerah dan buku pesanan kukuh menyokong pendapatan dalam jangka dekat yang kini bernilai RM3.6 bilion, iaitu 92% atau RM3.3 bilion adalah berkaitan perkhidmatan tenaga, diikuti oleh perkhidmatan biotenaga (8%).
Buku tendernya kini bernilai kira-kira RM7 bilion, yang sebahagian besarnya diambil kira oleh unit minyak dan gas (O&G) (kerja salutan paip dan kejuruteraan) – dengan projek dari Timur Tengah, Australia, Afrika dan Malaysia.
“Wasco menyasarkan untuk meneruskan kadar penambahan yang kukuh pada separuh kedua tahun ini. Oleh itu, kami percaya ia akan dapat mengekalkan nilai buku pesanannya lebih daripada RM3 bilion menjelang akhir 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi jangka panjang, RHB Investment percaya Wasco dapat memanfaatkan peluang yang timbul daripada gelombang peralihan tenaga global, memanfaatkan keupayaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dan salutan paipnya di tengah-tengah pertumbuhan mampan dalam cabang biotenaganya.
Meskipun projek berkaitan peralihan tenaga menyumbang hanya 6% daripada buku pesanan, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan sepanjang tahun.
“Ia juga memperoleh kontrak salutan paip talian sulungnya untuk projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CSS) bernilai AS$13 juta di Pelabuhan Rotterdam untuk Nederlandse Gasunie,” kata firma itu sambil menambah projek CCS dirancang antara 2024 dan 2027 melibatkan 5,000km saluran paip yang dianggarkan membawa AS$1bilion peluang pekerjaan salutan paip, termasuk kerja domestik (iaitu Kasawari dan Lang Lebah).
Selain itu, penglibatan Wasco dalam perkhidmatan biotenaga dijangka meningkatkan aliran pendapatan yang stabil dan berulang kerana terdapat lebih banyak pemasangan turbin baharu yang membesarkan pangkalan pelanggan operasi dan penyelenggaraan (O&M).
Firma itu berkata pertumbuhan jangka panjang akan terus dipacu oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang mana Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti penapisan bio kepada 3.5 bilion liter dan meningkatkan kapasiti penjanaan kuasa biojisim dan biogas kepada 1.4GW (gigawatt) menjelang 2050.
“Kami menjangkakan Wasco akan mencatatkan pertumbuhan pendapatan 4% hingga 40% tahun ke tahun pada FY23-25, diterajui oleh pengebilan yang lebih tinggi daripada kontrak sedia ada, dengan kemungkinan sumbangan yang lebih baik daripada usaha sama dan firma bersekutunya, manakala peningkatan aktiviti huluan O&G akan membawa kepada pekerjaan penyelenggaraan lebih baik dan permintaan kapal lebih tinggi,” tambahnya.
Pada pukul 9:40 pagi ini, saham Wasco telah menokok 5 sen atau 5% kepada RM1.06 dengan permodalan pasaran berjumlah RM821.4 juta. - DagangNews.com

