
PADA hujung minggu lalu, protes antipemerintah berskala besar telah berlaku di beberapa wilayah di Perancis.
Himpunan yang pada awalnya aman bertukar ganas apabila bangunan-bangunan ikonik terutamanya di kota Paris dirosakkan dan dibakar, selain kedai-kedai berjenama mewah dipecah masuk oleh penunjuk perasaan.
Menurut pemerintah Perancis, lebih setengah juta orang menyertai protes besar-besaran di seluruh negara ekoran peningkatan kos sara hidup dan masalah pendidikan.
Akibat protes tersebut, lebih 2,000 orang telah ditangkap kerana menyertai keganasan terburuk di Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Protes di Perancis bermula sejak bulan lalu apabila pelajar sekolah menengah dan universiti menuntut lebih banyak dana kerajaan untuk pendidikan serta keadaan sekolah lebih baik. Selain itu, para penunjuk perasaan juga tidak berpuas hati dengan rejim pemerintahan Presiden, Emmanuel Macron atas kenaikan kos sara hidup dan harga minyak yang tinggi.
Rentetan itu, perintah berkurung diumumkan di beberapa bahagian di Paris dan Lille selepas perhimpunan bertukar menjadi ganas. Para penganalisis geopolitik di Eropah memberi amaran bahawa rasa tidak puas hati terhadap kerajaan boleh merebak di lebih banyak negara dalam beberapa minggu akan datang.
Ketika ini, masyarakat di Madrid, Sepanyol turut berdemonstrasi selepas seorang wanita tua diusir dari rumahnya oleh sebuah firma pelaburan yang telah menaikkan sewa rumah sebanyak 230 peratus.
Maricarmen Abascal, 87, dilaporkan meninggal dunia di hospital dua minggu selepas diasingkan secara paksa dari apartmennya. Sementara itu, protes antikerajaan besar-besaran sedang berlaku di ibu negara Albania ekoran dakwaan rasuah oleh pihak kerajaan.
Difahamkan, ahli politik di negara itu dituduh menggunakan taktik licik untuk meluluskan pembangunan pantai mewah yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kekacauan juga dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah lain seperti Itali, Portugal dan Belgium disebabkan kenaikan kos sara hidup.
Demonstrasi yang lebih kecil turut direkodkan di Greece, Austria, Ireland dan Jerman sejak beberapa minggu lalu.
Adakah demonstrasi yang berpusat di Eropah ini akan merebak ke benua lain terutamanya Asia? Apakah punca yang membolehkan protes ini merebak?
Hasil dapatan penulis, beberapa negara di Asia ketika ini sedang bersiap sedia menghadapi golombang pemberontakan rakyat di jalan raya. Dianggarkan lebih 9,000 anggota polis Indonesia dikerah mengawasi ibu kota Jakarta pada Selasa lalu sempena ulang tahun kedua pemerintahan Presiden Probowo Subianto.
Badan pelajar universiti Indonesia berkata, pihaknya ingin mengadakan protes disebabkan masalah kebakaran hutan, kejatuhan saham, penyusutan nilai mata wang rupiah dan peningkatan kos sara hidup.
Beberapa negara lain di Asia turut berada dalam ‘mode’ siap siaga seperti Bangladesh, India, Mongolia dan Filipina yang terkenal dengan pemberontakan rakyat di jalanan. Pada masa sama, penulis berharap perkara berkenaan tidak merebak ke negara ini.
The post Protes di Eropah boleh merebak ke Asia appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Perusuh jual beg LV, Hermes tepi jalan harga tidak masuk akal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/beg-murah.png)




