Proton Bakal Hadir Dengan Kereta Hibrid Pertama Mereka Pada Tahun 2026

LocalTechnology
4 Dec 2025 • 11:57 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di acara Proton Tech Showcase hari ini, Proton berkongsi perancangan untuk menggunakan platform AMA 2026 Enhance. Platform AMA (Advanced Modular Architecture) ialah platform baharu yang dibangunkan bersama Geely bagi menyasarkan pasaran tempatan serta rantau ASEAN.

Ia pertama kali digunakan pada Proton Saga baharu yang dilancarkan bulan lepas yang dikenali dengan kod AMA 01. Menerusi AMA 2026 Enhance, Proton turut menegaskan bahawa platform ini sudah bersedia untuk menyokong kenderaan hibrid.

image is not available

AMA 2026 Enhanced akan mula digunakan pada model dengan kod nama AMA 02 dan seterusnya. Platform yang dipertingkatkan ini membolehkan integrasi sistem enjin hibrid, dengan enjin 1DHT yang dibangunkan oleh Geely dan akan dipasang di Tanjung Malim. Enjin tersebut bukan sahaja menyokong sistem hibrid biasa malah boleh digunakan untuk hibrid berplug (PHEV).

image is not available
image is not available

Enjin hibrid ini dilengkapi bateri sehingga 3kW yang mampu menjimatkan penggunaan petrol sekitar 3.5 hingga 3.9liter bagi setiap 100km, selain menghasilkan kuasa sehingga 130kW dengan tork 240Nm. Pada masa yang sama, platform AMA 2026 Enhanced dibangunkan dengan sasaran penarafan 5 bintang ASEAN NCAP serta bakal menyokong teknologi pemanduan swapandu tahap 2.

image is not available

Di acara Proton Tech Showcase, Proton turut mempamerkan model kereta masa depan mereka iaitu kereta hibrid berplug yang dibangunkan menggunakan platform GMA, sama seperti Proton e.MAS 7. Buat masa ini tiada maklumat terperinci didedahkan, namun dijangka inilah kereta hibrid berplug pertama Proton yang akan diumumkan pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha menyahut agenda peralihan tenaga.