Proton buka pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim

21 Mar 2024 • 12:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Proton buka pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim

zulfadli

21/03/2024 - 12:47

KUALA LUMPUR 21 Mac - Proton mengumumkan pembukaan rasmi pusat pemasangan cermin gelap yang terletak di fasiliti pengeluarannya di Tanjung Malim, Perak.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu memasang cermin gelap sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

Katanya, pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 apabila ia dilancarkan pada 7 Mei 2023.

"Ini diulangi untuk Proton S70 apabila ia dilancarkan pada November tahun lepas dengan kedua-dua varian Flagship dan Flagship X dilengkapi dengan cermin gelap keselamatan sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard.

"Pilihan itu akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat kerana Proton sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambahan kepada para pelanggan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, terdapat banyak kelebihan apabila pemasangan cermin gelap dikendalikan pengeluar peralatan asli (OEM) berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan.

Katanya, ia termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik menggunakan cetakan pra-potong, langkah jaminan kualiti yang ketat, pematuhan kepada peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya dikaitkan dengan pemasangan selepas pasaran.

image is not available

"Pelanggan juga boleh menikmati waranti jarak perjalanan tanpa had selama 5 tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, membuktikan komitmen Proton yang menekankan kepuasan pelanggan dan ketahanan produk," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu di Tanjung Malim adalah satu langkah penting ke arah komitmen pihaknya untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan.

image is not available

"Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti yang lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

image is not available

image is not available

"Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard," katanya. - DagangNews.com