Proton e.MAS Kini di Sarawak: Cawangan Pertama Dibuka di Vivacity Megamall

12 Feb 2025 • 9:23 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Proton e.MAS Kini di Sarawak: Cawangan Pertama Dibuka di Vivacity Megamall. Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) mencatat sejarah penting hari ini dengan pelancaran cawangan pertama Proton e.MAS di Sarawak yang terletak di Vivacity Megamall.

Dikendalikan oleh Melinau EV Sdn Bhd, cawangan ini adalah sebahagian daripada empat pusat jualan baru jenama kenderaan elektrik (EV) nasional itu. Pusat jualan pertama telah dilancarkan di Sabah pada 8 Februari, manakala dua lagi bakal dibuka di Kuching dan Sabah dalam bulan ini.

image is not available
Gambar : Vivacity Megamall

Inisiatif ini mencerminkan komitmen PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton, dalam memperluaskan ekosistem EV di Malaysia Timur.

Menurut Ketua Pembangunan Pengguna dan Operasi Pengguna PRO-NET, Lampard Peng Yile, syarikat itu mencatat lebih 3,800 tempahan untuk Proton e.MAS 7 pada Disember tahun lepas.

“Menurut data pendaftaran kenderaan terkini daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton e.MAS 7 merupakan EV nombor satu di pasaran Malaysia bulan lalu (Januari).

“Ini bukan sahaja menunjukkan kesediaan rakyat Malaysia untuk beralih kepada EV, tetapi juga memperlihatkan kualiti produk yang kami tawarkan,” katanya ketika majlis pelancaran Pusat Pameran Melinau EV yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Beliau turut mendedahkan bahawa Melinau EV telah menerima lebih 100 tempahan untuk e.MAS 7 dalam tempoh dua bulan lepas.

Komitmen Melinau EV terhadap Masa Depan Kenderaan Elektrik

Ketua Pegawai Eksekutif Melinau Auto Sdn Bhd, David Yii, berkata pelancaran pusat pameran ini bukan hanya tentang pembukaan ruang runcit baharu, tetapi juga simbol kemajuan, inovasi dan komitmen terhadap masa depan.

“Di Malaysia, permintaan terhadap penyelesaian pengangkutan yang lestari semakin meningkat. Pelancaran pusat pameran ini adalah bukti dedikasi kami untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Bagi kami di Melinau EV, EV bukan lagi masa depan – ia adalah masa kini. Hari ini, kami bukan sekadar menawarkan kenderaan, tetapi memberi peluang kepada pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Yii menambah bahawa pusat pameran ini akan membolehkan pelanggan mengalami sendiri kelebihan mobiliti elektrik.

“Kami mahu memberi keyakinan kepada pelanggan untuk beralih kepada kenderaan elektrik. Pasukan jualan kami yang berpengalaman akan membimbing mereka dengan maklumat yang tepat mengenai manfaat EV, daripada kos penyelenggaraan yang lebih rendah hingga ke faedah alam sekitar dalam jangka panjang,” ujarnya lagi.

Ke Arah Teknologi Hijau yang Lebih Mampan

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, menyifatkan pembukaan Pusat Pameran Melinau EV sebagai langkah tepat ke arah masa depan yang lebih lestari.

Pembukaan pusat pameran ini bukan sekadar pencapaian perniagaan, tetapi ia mencerminkan kemajuan yang kita capai sebagai sebuah bandar.

“Ketika Kuching terus berkembang, penerapan teknologi lestari seperti EV adalah aspek penting dalam membentuk masa depan yang lebih hijau dan pintar untuk komuniti kita,”katanya.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Weiping; Ketua Jaringan PRO-NET dan Timbalan Pengarah Jaringan Proton Edar Sdn Bhd, Zhao Le; Pengurus Kanan Perancangan dan Pembangunan Jaringan PRO-NET, Khairil Affendy Khazali; serta Pengarah Urusan Kumpulan Dailieng Group, Melinau Auto dan Melinau EV, Michael Tiong.

Baca lagi artikel lain :