
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Impian peminat kenderaan elektrik (EV) di Malaysia untuk mendapatkan kereta elektrik mampu milik kini tercapai apabila Proton pada Khamis (30 Oktober) secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik yang kedua di bawah jenama Proton e.MAS iaitu Proton e.MAS 5 di Sentul Depot.
Proton dalam satu kenyataan berkata Proton e.MAS 5 ini direka untuk menjadikan mobiliti lestari dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia.
Terdapat dua varian Proton e.MAS 5 yang ditawarkan iaitu:
- Varian Prime pada harga RM59,800
- Varian Premium pada harga RM72,800
View on Threads
Proton e.MAS 5 menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, dengan lebih 5,000 tempahan dicatatkan dalam tempoh hanya tiga minggu sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober 2025.
Selain yuran tempahan hanya RM99, Proton turut memberikan rebat pelancaran istimewa bernilai hingga RM3,000 (tertakluk pada terma dan syarat dan untuk masa terhad sehingga 31 Disember 2025).
Pencapaian ini menunjukkan keyakinan dan minat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik mampu milik sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober yang lalu melalui siaran langsung khas.
Sebagai model kedua dalam barisan Proton e.MAS, Proton e.MAS 5 melambangkan komitmen PRO-NET dalam memacu penggunaan EV secara meluas di Malaysia. Dibangunkan berasaskan prinsip kemampuan milik, praktikaliti dan kegunaan harian, model ini direka khas untuk pembeli EV pertama yang mencari pengalaman pemanduan yang lebih pintar, bersih dan menjimatkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET Zhang Qiang, pelancaran Proton e.MAS 5 menandakan satu lagi detik membanggakan buat PRO-NET dalam usaha menerajui peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik.
“Menerusi jenama Proton e.MAS, kami membawa teknologi hijau agar dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia dengan menggabungkan inovasi canggih, keselamatan yang boleh dipercayai dan mampu milik untuk menjadikan pemilikan EV sesuatu yang mampu dicapai oleh semua, bukan hanya segelintir sahaja.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh ekosistem EV tempatan dan menyokong perjalanan Malaysia menuju mobiliti lestari serta masa depan sifar bersih.”
Proton e.MAS 5 Membawa Nafas Baharu kepada Mobiliti Harian
Direka khusus untuk gaya hidup bandar namun tetap menekankan keselesaan keluarga, Proton e.MAS 5 mengubah tanggapan tentang apa yang mampu ditawarkan oleh sebuah EV mampu milik.
Ia merupakan kenderaan segmen-B dengan keluasan setanding segmen-C, menggabungkan kecanggihan dan praktikaliti untuk kegunaan harian. Dengan jarak pemanduan WLTP sehingga 325km, Proton e.MAS 5 sesuai untuk perjalanan harian, urusan seharian, dan percutian hujung minggu hanya dengan satu cas.
Proton e.MAS 7 kekal EV No 1 di Malaysia
Tambah Proton lagi, Proton e.MAS 7 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai EV No.1 di Malaysia selama sembilan bulan berturut-turut, dengan jumlah jualan terkumpul sebanyak 6,655 unit setakat September 2025.
Ini merangkumi 6,212 unit terjual di pasaran tempatan dan 443 unit dieksport. Dengan pegangan pasaran EV nasional sebanyak 24%, Proton e.MAS 7 terus mencerminkan keyakinan kukuh pengguna terhadap strategi elektrifikasi PROTON.
Sebelum ini Proton e.MAS 5 telah ditampilkan buat kali pertama di Sidang Kemuncak ASEAN pada 28 Oktober yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Li Qiang dari Republik Rakyat China,



