NUJM & Geramm Bidas Tindakan Menteri Ugut Wartawan

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 3:22 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sejak semalam (30 Oktober), tular di media sosial video yang memaparkan seorang menteri didakwa melakukan ugutan terhadap seorang wartawan Utusan Malaysia.

Menteri terbabit didakwa mengugut wartawan berkenaan dengan cubaan ingin menghubungi ketua pengarangnya (editor) selepas mengajukan soalan dalam satu sidang media.

NUJM pandang serius isu berkenaan, ahli politik perlu beretika

Terbaharu, Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut seorang wartawan.

NUJM memandang serius isu terbabit dan berpendapat bahawa ahli politik haruslah beretika sepertimana wartawan yang berpegang kepada etikanya.

Menurut NUJM, tindakan terbabit bukan sahaja tidak wajar, malah dilihat sebagai cubaan untuk menakutnakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.

“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika,” katanya dipetik Malaysia Gazette.

Wartawan hanya tanya tentang penggunaan Bahasa Melayu

Difahamkan wartawan terbabit sekadar bertanya soalan mengenai penggunaan Bahasa Melayu dan tiada sebarang provokasi cuba dilakukan sama ada untuk menggugat isu kepentingan atau ketenteraman negara.

Tegas NUJM, soalan yang dibangkitkan juga adalah pertanyaan mudah yang boleh dijawab dengan mudah oleh pihak kerajaan khususnya seorang menteri.

“Sebagai seorang penjawat awam, seorang menteri wajar menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat dan bukannya memperlekeh atau memberi tekanan kepada wartawan hanya kerana soalan yang dikemukakan adalah tidak selesa untuk dijawab.

“Tindakan memanggil editor untuk ‘memberi penjelasan’ mengenai soalan wartawan di sidang media itu jelas menghantar mesej yang salah dan berbahaya, seolah-olah wartawan harus dihukum kerana melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Meskipun NUJM tidak menyebut sebarang nama, namun Geramm meletakkan gambar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada kenyataan media yang dikeluarkannya.

Wartawan ada hak dan tanggungjawab untuk tanya soalan – Geramm

Menerusi kenyataan media, Geramm juga memandang serius insiden berkenaan dan menegaskan bahawa wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya terutamanya kepada ahli politik dan penjawat awam bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam.

“Soalan wartawan bukan serangan peribadi. Ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi. Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak.

“Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri.

“Seorang menteri perlu memahami bahawa kebebasan media bukan ancaman, tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran. Wartawan tidak perlu dipuji, tetapi juga tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana bertanya soalan yang sukar,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular satu video Nga Kor Ming menegur seorang wartawan ketika majlis pra pelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketika acara tersebut, wartawan berkenaan bertanya soalan mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.

Nga kemudiannya menjelaskan ia adalah acara pelancongan, justeru penggunaan bahasa Inggeris adalah lebih sesuai dalam cubaan kerajaan dalam menarik pelancong antarabangsa.

Namun, Nga kemudiannya menyebut, “Saya tidak mahu awak datang ke sini dan menimbulkan isu yang boleh merosakan majlis. Saya akan hubungi Chief Editor awak.”