Proton perkenal PMP 5-Star, tingkat piawaian pembuatan bertaraf dunia

Business & Finance
5 Nov 2026 • 5:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Proton perkenal PMP 5-Star, tingkat piawaian pembuatan bertaraf dunia

PETALING JAYA: Jenama automotif nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) melangkah ke hadapan dalam memperkukuh keupayaan operasi apabila melancarkan Program Proton Meta Power 5-Star (PMP) di Kilang Kenderaan Elektrik (EV) di Tanjung Malim.

Inisiatif strategik itu menandakan pencapaian penting dalam usaha berterusan syarikat untuk memperkasakan warga kerja, meningkatkan semangat kerja berpasukan serta menerapkan budaya penambahbaikan berterusan di seluruh lantai pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, kejayaan jangka panjang syarikat amat bergantung kepada kemahiran, keprihatinan dan komitmen warga kerja dalam melaksanakan setiap tugasan dengan cemerlang.

“Teknologi canggih menyokong kami, tetapi kejayaan akhirnya bergantung kepada warga kerja. Program ini dibangunkan berasaskan asas sedia ada dengan membangunkan keupayaan pasukan, memperkukuh penyelesaian masalah serta mengiktiraf kemajuan yang dicapai.

“Pencapaian hasil dan pembangunan insan mesti bergerak seiring. Kita mesti mencapai sasaran ditetapkan sambil membantu pekerja terus berkembang dalam persekitaran kerja yang adil dan telus,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah tema “Membina Proton yang Lebih Kukuh Menerusi Warga Kerja, Prestasi dan Penambahbaikan Berterusan”, PMP memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pekerja mengambil tanggungjawab di stasiun kerja masing-masing.

Pekerja digalakkan untuk memeriksa hasil kerja sendiri, mengelakkan kecacatan daripada berlarutan ke stesen seterusnya, menjaga peralatan serta menyuarakan pandangan apabila berdepan sebarang isu proses.

Pelaksanaan PMP turut dibina berasaskan kerangka Proton Production Way (PPW) yang menitikberatkan lima objektif utama iaitu Keselamatan, Kualiti, Kos, Penghantaran dan Moral (SQCDM), disokong oleh sistem Pasukan 5-Bintang yang berstruktur.

Selain meningkatkan kualiti produk kenderaan, inisiatif berkenaan turut menyokong usaha pembangunan bakat negara, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi.

Program perintis di kilang EV itu disasarkan selesai menjelang Disember 2026, sebelum diperluaskan secara berperingkat ke semua kawasan operasi kilang di Tanjung Malim menjelang Oktober 2027.-UTUSAN

 

The post Proton perkenal PMP 5-Star, tingkat piawaian pembuatan bertaraf dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved