6 faktor membolehkan Tanjong Malim menjadi hab automotif serantau

LocalCars
19 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

6 faktor membolehkan Tanjong Malim menjadi hab automotif serantau Image from: 6 faktor membolehkan Tanjong Malim menjadi hab automotif serantau johardy19/10/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

Bila disebut Tanjong Malim, orang teringat Proton. Itu memang sukar dinafikan. Tetapi bandar di selatan Perak ini sedang dibangunkan untuk memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam industri automotif negara.

 

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim diangkat sebagai hab automotif serantau.

 

Pengumuman itu penting kerana AHTV bukan projek baharu yang tiba-tiba muncul dalam belanjawan. Ia merupakan antara inisiatif strategik pembangunan ekonomi yang dipacu Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan kerjasama pemain industri dan agensi Kerajaan Persekutuan.

 

Kerajaan Negeri Perak sudah menjalin kerjasama dengan DRB-HICOM bagi pembangunan AHTV sejak April 2022. Apabila Perdana Menteri memberikan penekanan kepadanya dalam Belanjawan 2027, agenda pembangunan Perak itu mendapat pengukuhan di peringkat nasional.

 

AHTV


Di Rayong, Thailand, pengeluar kenderaan antarabangsa beroperasi bersama rangkaian vendor. Tanjong Malim tidak perlu meniru Rayong bulat-bulat.

 

Tetapi contoh itu menunjukkan sebuah hab automotif tidak boleh berdiri dengan hanya satu kilang besar.

 

Jadi, apakah yang boleh menjadikan hasrat Perak ini kenyataan? Ada enam faktor yang perlu diberi perhatian.

 

1. Proton dan Geely sudah menyediakan asas

Proton sudah lama bertapak di Proton City. Selepas pemindahan operasi pengeluaran dari Shah Alam selesai pada 2025, Tanjong Malim menjadi pusat utama pembuatannya dengan kapasiti sehingga 250,000 kenderaan setahun.

Kerjasama Proton dengan Geely pula membuka ruang kepada model baharu, pemindahan teknologi dan pengeluaran komponen. Peralihan kepada kenderaan hibrid dan elektrik turut memerlukan kepakaran yang berbeza daripada kerja memasang badan kereta dan enjin semata-mata.

Namun, sebesar mana pun kilang Proton, sebuah hab automotif serantau tidak boleh bergantung kepada satu pengeluar sahaja. Asas sudah ada, tetapi masih banyak yang perlu dibina di sekelilingnya.


 

Proton


 

2. Insentif RM5 juta untuk menarik vendor

Belanjawan 2027 menawarkan potongan cukai ke atas kos penempatan semula yang layak sehingga RM5 juta kepada syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya yang berpindah ke AHTV. Insentif itu melibatkan perbelanjaan layak dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Potongan cukai, bukan pemberian wang tunai RM5 juta. Perbezaan ini penting supaya tidak timbul tanggapan setiap vendor akan menerima cek daripada kerajaan.

Memindahkan kilang bukan seperti berpindah pejabat. Mesin perlu dialihkan, pengeluaran disusun semula dan pekerja perlu memikirkan tempat tinggal serta persekolahan anak.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar menyambut baik insentif itu kerana ia boleh mengurangkan kos penempatan semula dan menggalakkan vendor tempatan membuka operasi di Tanjong Malim.

Tetapi vendor juga mahu tahu satu perkara. Selepas berpindah, ada cukup tempahan atau tidak? Insentif membantu mereka datang. Peluang perniagaan menentukan sama ada mereka mampu bertahan.

 

3. Kilang besar memerlukan pembekal kecil

Sebuah kereta mempunyai ribuan komponen. Tempat duduk, casis, pendawaian dan elektronik bukan semuanya dibuat oleh pengeluar kereta. Sebahagiannya datang daripada perusahaan kecil dan sederhana.

Di Tanjong Malim, EP Manufacturing Bhd melalui usaha sama Peps Sanly JV mempunyai kemudahan komponen casis yang mula beroperasi pada Oktober 2025 dan dirasmikan pada Ogos 2026.

Pelaburan seperti ini mungkin tidak semeriah pelancaran model kereta baharu. Tetapi tanpa pembekal komponen yang berdaya saing, sukar untuk Tanjong Malim menjadi hab automotif serantau.

Syarikat tempatan juga perlu dibantu meningkatkan teknologi dan memenuhi piawaian antarabangsa. Kalau semuanya berjalan baik, mereka bukan sahaja membekalkan komponen kepada kilang di Tanjong Malim, malah berpeluang mengeksport produk sendiri.

 

 

solar


 

4. Lebih ramai pelabur asing perlu datang

Persaingan menarik pengeluar automotif antarabangsa bukan mudah. Negara lain juga menawarkan insentif cukai, kemudahan logistik dan tenaga kerja kepada pelabur yang sama.

Pada September 2026, BYD memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan membina kilang pemasangannya di Tanjong Malim.

Bagaimanapun, Saarani pada 28 September lalu memaklumkan beberapa syarikat automotif asing menunjukkan minat untuk melabur di KLK TechPark selepas keputusan BYD itu.

KLK TechPark bukan kawasan AHTV, tetapi kehadiran lebih banyak pengeluar automotif di sekitar Tanjong Malim boleh membantu membentuk kelompok industri yang lebih besar.

Minat pelabur tentu menggalakkan. Namun, yang diperlukan akhirnya ialah kilang yang benar-benar beroperasi, bukannya pengumuman semata-mata.

 

5. Kerajaan Negeri Perak memacu AHTV dengan sokongan Persekutuan

Di sinilah peranan Kerajaan Negeri Perak perlu dilihat dengan lebih jelas. AHTV merupakan antara projek strategik yang didukung di bawah agenda Perak Sejahtera 2030, manakala Kerajaan Persekutuan membantu melalui dasar industri, insentif dan penyelarasan pelaburan.

Saarani sendiri menegaskan bahawa pembangunan ekonomi negeri mesti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Perak. Ketika merasmikan PERAK Gen Showcase 2026 di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu, beliau menyenaraikan AHTV sebagai antara kawasan pertumbuhan ekonomi utama negeri.

“Kami tidak mahu anak Perak menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri sendiri. Kami mahu mereka menjadi pemain, menjadi penyumbang dan menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan baharu Perak,” katanya.

Pendirian Menteri Besar itu penting kerana AHTV bukan hanya soal menarik pelabur membina kilang. Kerajaan Negeri Perak juga perlu memastikan pembangunan industri membawa pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk tempatan.

Pada 11 September lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai sesi libat urus industri automotif di Tanjong Malim sempena Jelajah Belanjawan 2027, dengan penglibatan Kerajaan Negeri Perak.

Kerajaan Negeri Perak memainkan peranan penting dalam penyediaan persekitaran pelaburan, tanah industri, infrastruktur dan urusan setempat. Kerajaan Persekutuan pula memperkukuh daya tarikan AHTV melalui dasar dan insentif nasional, sementara pemain industri melaksanakan pelaburan serta operasi perkilangan.

Tidak banyak gunanya potongan cukai yang menarik kalau vendor masih bergelut mencari premis sesuai atau terpaksa menanggung kos pengangkutan terlalu tinggi.


 

AHTV

 

6. Anak Perak mesti mendapat manfaat

Faktor terakhir ini mungkin paling dekat dengan rakyat. Kalau AHTV berkembang tetapi anak muda Perak masih terpaksa berhijrah untuk mencari pekerjaan bergaji baik, ada sesuatu yang perlu diperbaiki.

Jangan tunggu kilang siap baru sibuk mencari jurutera, juruteknik automasi dan pekerja mahir. Institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu bekerjasama dengan industri supaya kemahiran yang diajar benar-benar diperlukan majikan.

Bagi keluarga di Tanjong Malim, Slim River dan kawasan sekitarnya, soalannya mudah. Anak yang belajar kejuruteraan boleh bekerja dekat rumah atau masih perlu ke Lembah Klang?

Pemilik bengkel tempatan pula boleh mendapat kontrak membekalkan komponen atau sekadar melihat lori keluar masuk kawasan kilang?

Pertambahan kilang turut membuka peluang kepada pengusaha pengangkutan, penyelenggaraan, makanan dan penginapan. Tetapi rumah yang mampu disewa, jalan raya dan kemudahan awam juga mesti berkembang seiring.

Bagi Malaysia, kejayaan AHTV boleh memperkukuh industri komponen berteknologi tinggi, mengurangkan pergantungan kepada import tertentu dan membuka pasaran eksport baharu.

 

Ukuran Kejayaan AHTV

Namun, ukuran kejayaannya bukan berapa banyak pelaburan diumumkan atau berapa besar kawasan perindustrian dibangunkan.

 

Yang rakyat mahu lihat ialah kilang benar-benar beroperasi, syarikat tempatan memperoleh kontrak dan anak-anak Perak mendapat pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.

 

Tanjong Malim sudah mempunyai asas industri yang kukuh. Dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, sokongan Kerajaan Persekutuan dan komitmen pemain industri, enam faktor ini boleh membawanya lebih jauh.

 

Sebab bagi rakyat, hab automotif serantau bukan diukur pada besarnya papan tanda di pintu masuk. Ia diukur pada peluang yang benar-benar sampai ke rumah mereka. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved