

Kehangatan perlumbaan ketahanan Sepang 1000 KM (S1K) kini semakin terasa. Kali ini, jenama automotif nasional, Proton, bakal kembali beraksi setelah kali terakhir mencatatkan kemenangan pada tahun 2019.
Sempena kemunculannya dalam perlumbaan akan datang, baru-baru ini Proton telah mengadakan sesi pengenalan khas untuk mempamerkan jentera berprestasi yang dibangunkan berdasarkan Proton S70, di samping memperkenalkan barisan pelumba yang bakal terlibat.
Barisan Pemandu Berpengalaman Dan Pemandu Muda Yang Berbakat


Untuk perlumbaan S1K 2024 kali ini, dua jentera akan dipertandingkan yang akan dikendalikan oleh gabungan pemandu berpengalaman dan bakat muda. Barisan pemandu veteran, Syafiq Ali dan Fahrizal Hasan, akan mengetuai pasukan. Syafiq, 36 tahun, tidak hadir pada sidang media kerana sedang menunaikan ibadah umrah, manakala Fahrizal, 42 tahun, kelihatan yakin walaupun telah berehat dari perlumbaan selama setahun. Kedua-dua pemandu ini mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan nasional dan serantau serta telah beberapa kali menjuarai S1K.
Untuk pasukan kedua, Proton memberi kepercayaan kepada bakat muda, Alister Yoong, 21 dan Ariff Azmi, 19, yang bernaung di bawah Axle Sports Academy, sebuah akademi sukan permotoran tempatan yang diasaskan oleh Alex Yoong, ayah kepada Alister. Proton yakin bahawa kombinasi pemandu veteran dan pelumba muda ini akan memberi kelebihan bagi merangkul kemenangan keenam mereka di S1K.
Proton S70 R3 S1K Guna Enjin 1.6 Liter CamPro

Penghasilan jentera perlumbaan ini menjadi tanggungjawab Ketua Mekanik R3, Haji Osman Jailani, dan pasukan kejuruteraannya. Mereka berjaya menyempurnakan binaan Proton S70 R3 S1K dengan beberapa ujian awal. Kenderaan ini direka semula untuk memenuhi piawaian keselamatan perlumbaan, termasuk pemasangan sangkar keselamatan dan peralatan aerodinamik seperti splitter hadapan dan spoiler gentian karbon.




Cabaran terbesar R3 adalah untuk memadankan enjin 1.6 liter CamPro aspirasi natural (NA) 4 silinder serta transmisi manual H-pattern 5 kelajuan yang berprestasi tinggi.




Trenkuasa yang digunakan untuk perlumbaan ini berbeza daripada S70 versi pengeluaran yang dipasangkan dengan enjin 1.5 liter turbo dan transmisi DCT 7 kelajuan.
Pilihan enjin ini dibuat berdasarkan peraturan S1K yang menetapkan bahawa kenderaan yang bertanding dalam kategori MTC mesti dikuasakan oleh enjin dengan kapasiti maksimum 1,600 cc tanpa bantuan turbo. Enjin 1.5 liter S70 yang standard dibangunkan hanya dalam versi induksi paksaan (forced induction), berbeza dengan enjin CamPro yang dibangunkan dalam versi turbo dan NA.



Penggunaan enjin CamPro dalam jentera perlumbaan ini juga diluluskan kerana MTC membenarkan penggunaan enjin daripada pengeluar yang sama. Enjin dan transmisi ini diambil daripada model-model Proton lain yang pernah memenangi S1K.
Enjin tersebut juga dipilih kerana terbukti mampu memberikan prestasi terbaik tanpa memerlukan pembangunan tambahan, yang bermakna kos pembangunan dapat dijimatkan lagi.
Proton S70 R3 S1K: Usaha Mencipta Sejarah di S1K
Dengan rekod lima kemenangan S1K sebelum ini, sudah pasti, Proton R3 sudah pun memiliki kepakaran tentang ‘resepi’ yang terbaik untuk memastikan Proton S70 mampu membuat pencapaian terbaik dalam perlumbaan yang bakal berlangsung.
Perlumbaan S1K 2024 dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Petronas dari 21 hingga 23 November ini. Perlumbaan ini membabitkan 181 pusingan di litar yang berkepanjangan 5.5 km dalam masa sembilan jam.



