Pengalaman Memandu Proton e.MAS 7 – EV Pertama Malaysia Penuh Potensi

TechnologyDigitalCars
26 Oct 2024 • 10:26 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sudah beberapa bulan berlalu sejak Proton mengumumkan jenama kenderaan elektrik mereka iaitu Proton e.MAS. Dengan penghujung tahun bakal tiba, penjualan e.MAS7 bakal berlangsung tak lama lagi dan hari ini di acara Auto Car Expo Setia Alam, pengunjung berpeluang melihat luaran dan dalaman kereta elektrik pertama dari Proton.

image is not available

Ini merupakan titik kemuncak dari jelajah e.MAS7 seluruh Malaysia yang membawa kereta elektrik ini dengan lebih dekat kepada seluruh rakyat tempatan dan saya berbangga kerana turut serta dalam jelajah ini dan memandu sendiri Proton e.MAS7. Saya telah memandu dari Shah Alam ke Seremban, singgah semalaman di Melaka dan terus ke Johor Bahru, sebelum pulang semula ke Shah Alam. Dalam 894km ini saya juga mempelajari sedikit sebanyak mengenai Proton e.MAS7 walaupun versi yang saya naik ini mungkin versi ujian, bukanlah versi akhir yang akan menemui pengguna.

Sifat Rupa Fizikal Proton e.MAS7

Versi ujian yang saya pandu ini dibaluti dengan lapisan penyamaran yang digunakan sebagai kenderaan perarakan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos yang lalu. Apa yang boleh jelas dilihat adalah dari segi rekaan lampu hadapan dan belakang yang tampak agresif dan menyerlah. Dari segi saiz, tidak salah jika dikatakan e.MAS7 tergolong dalam kelas yang sama dengan Proton X70 dengan ketinggian yang hampir sama jadi Proton e.MAS7 boleh diklasifikasikan sebagai SUV. 

image is not available

Sebagai SUV, ruang bagasi merupakan salah satu aspek utama dan Proton e.MAS7 ini mempunyai kapasiti bagasi sebesar 461L yang boleh ditambah keluasannya menjadi 1877L apabila tempat duduk penumpang dilipat. But belakang juga boleh dibuka secara automatik, namun ini hanya terdapat untuk versi Premium. 

image is not available

image is not available

Apabila membuka pintu ruang pemandu, tempat duduknya akan bergerak, memudahkan pemandu masuk. Sejurus apabila duduk, pemandu boleh menetapkan kedudukan yang diingini, dan ini boleh diingati (Memory Seat) bagi memudahkan anda masuk dan keluar kenderaan ini. Pemandu akan terus dihidangkan dengan paparan kluster pemanduan bersaiz 10.2 inci yang sangat responsif dalam memberikan maklumat. Kelancaran paparannya seolah-olah ia dipaparkan pada kelajuan 60fps, dan tidak menunjukkan sebarang tanda lengah masa. 

image is not availableimage is not available

Seterusnya di bahagian tengah terdapatnya paparan inforia bersaiz 15.4-inci pada resolusi 2.5K. Skrin ini juga menempatkan pelbagai kawalan dan tetapan baik untuk pemandu ataupun penumpang. Menerusi skrin ini juga pemandu boleh mengubah suhu, mengaktifkan pengudaraan untuk tempat duduk, menghalakan pendingin hawa, memasang lagu yang cukup dengan pelbagai tetapan audio bersesuaian suasana, dan pelbagai lagi. 

Malah menambah lagi sinergi antara kumpulan Geely dan syarikat auto dibawah naungannya, sistem pemetaan untuk e.MAS7 ini turut mempunyai integrasi data pengecasan di seluruh Malaysia. Maka ia memudahkan pemandu untuk mencari lokasi pengecasan, status ketersediaan pengecasan, dan juga jarak perjalanan yang boleh dicapai dengan tahap bateri sedia ada. Namun begitu saya tidak rakamkan gambar ini kerana aplikasi tersebut masih dalam tahap percubaan. 

image is not availableimage is not available

Di bahagian tengah terdapat satu tombol pintar dwi-fungsi yang boleh digunakan untuk mengubah tahap audio, dan jika anda tekan, dan pulas, terdapat pilihan tetapan kedua yang anda boleh pilih dari 5 pilihan. Saya rasa ini salah satu pengawalan fungsi yang baik, dan ada dapat mengubah dua perkara menerusi tombol yang sama. 

image is not available

image is not available

Keselesaan penumpang belakang turut menjadi penekanan, dan Proton meletakkan laci yang boleh memuatkan barangan seberat 3.5kg dan juga agak luas dan mencukupi dalamnya. Penumpang belakang juga masih mempunyai ruang letak kaki yang luas dan selesa dan terdapat saluran pendingin hawa serta slot kabel pengecasan USB.

image is not available

Namun salah satu perkara yang saya rasa boleh diperbaiki adalah pemilihan bahasa/kata kunci yang mungkin sedikit berlainan dengan konteks tempatan. Seperti contoh ‘Air Volume’ yang dijadikan label untuk kelajuan kipas, mungkin boleh ditukar kepada ‘Fan Speed’. Dan tetapan untuk menukar kiraan ‘Standard / Dynamic Mileage’ terletak dalam menu ‘Display’, dan bukannya terletak dalam ‘Energy’. Perkara ini sebenarnya mudah untuk diperbetulkan menerusi kemaskini sistem.

Prestasi Pemanduan

image is not available

Memandangkan Proton e.MAS7 yang saya bawa mempunyai bumbung lutcahaya yang boleh dibuka, saya percaya saya sedang memandu versi Premium. Sepanjang 3 hari memandu kereta ini, saya merasakan pecutan yang dihasilkan sangat responsif dan dapat memberikan kuasa yang tinggi. Malah boleh dikatakan juga yang mana dari segi suspensi dan kawalan, Proton telah memberikan talaan data menjadikan kawalan kereta ini sangat sesuai untuk kegunaan tempatan. Banyak masa di lebuhraya saya memandu dan memecut pantas, dan harimau elektrik ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia mengah dan sentiasa mampu memberikan kuasa dan pecutan yang dikehendaki.

image is not available

Dari segi jarak bateri, ia mempunyai jarak 410km dengan bateri penuh. Paparan kluster pemanduan dilihat seolah-olah mempunyai rekaletak yang sama dengan paparan yang terdapat pada Smart namun dengan beberapa kelainan terutamanya label ‘Ready’ yang tidak diletakkan dibawah nilai kelajuan, namun diletakkan pada sebelah kiri, menghampiri label pilihan pemanduan. 

image is not available

Apabila di lebuhraya, saya mengaktifkan fungsi Intelligent Cruise Control dan paparan yang turut terpapar menerusi paparan terimbuh HUD ini penuh dengan warna. Ini satu perkara baharu untuk saya, dan objek-objek besar yang dikesan seperti lori turut diwarnakan oren untuk membuatkan pemandu memberikan perhatian yang lebih. 

Seperkara yang sinonim dengan pengalaman saya sebelum ini memandu Smart adalah sistem pemantauan pemandu yang agak sensitif. Bagi saya ini bukanlah isu besar kerana apabila Smart #3 dilancarkan, saya dapati isu yang saya ulas pada Smart #1 mengenai tahap sensitif sistem tersebut sudah dikemaskini. Itulah salah satu manfaat kenderaan pintar, apabila kesemuanya boleh diperbaiki menggunakan kemaskini perisian. 


Setibanya kembali ke Shah Alam saya berasa ingin memandu dengan lebih lama, lebih-lebih lagi versi akhir Proton e.MAS7. Dengan kelengkapan menarik dan menyelesakan pemandu dan penumpang, serta prestasi yang tidak terkalah, saya yakin kereta elektrik pertama jenama Malaysia ini akan memberikan saingan yang sangat hebat kepada kesemua kereta elektrik lain yang telahpun berada di pasaran.

image is not available

Anda kini boleh menempah Proton e.MAS7 yang hadir dalam dua versi, iaitu versi Prime dengan jarak perjalanan 350KM WLTP, atau versi Premium yang boleh pergi sehingga 410KM WLTP. Tempahan boleh dilakukan secara atas talian, atau menerusi pengedar mereka yang sah seluruh Malaysia.