sarah16/10/2026 - 09:38 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - Dengan tambahan hanya RM1,999, pembeli Proton X50 kini boleh menikmati 15 penambahbaikan eksklusif bernilai RM7,000 menerusi model Sport Edition (SE) serba baharu yang tampil dengan reka bentuk lebih sporty, kemasan premium serta mengekalkan ciri teknologi dan keselamatan varian 'Flagship'.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, pengenalan X50 Sport Edition memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan penampilan berbeza tanpa mengorbankan prestasi, teknologi dan keselamatan sedia ada.
“Dengan menjadikannya berasaskan varian 'Flagship', kami memberikan peluang kepada pelanggan menikmati Proton X50 dengan penampilan lebih sporty dan tersendiri, sambil mengekalkan prestasi, teknologi canggih dan ciri keselamatan yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, model yang dilancarkan di Subang Jaya itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM102,299 di Semenanjung Malaysia dan RM104,299 di Malaysia Timur, selepas mengambil kira rebat Oktober 2026 sehingga RM13,000 serta tambahan pakej Sport Edition.
Menurutnya, Sport Edition ditawarkan sebagai pakej penambahbaikan gaya dan bukannya varian berasingan, dengan menampilkan kemasan hitam serta aksen merah pada bahagian luaran dan dalaman bagi memberikan identiti lebih sporty kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B itu.

Antara penambahbaikan utama termasuk rim aloi hitam bersaiz 18 inci, kemasan hitam pada gril dan bampar, skirting hadapan, sisi serta belakang, selain lencana khas Sport Edition yang menyerlahkan penampilan lebih agresif.
Di bahagian kabin, model itu dilengkapi jahitan merah pada stereng, perehat tangan, panel pintu dan tempat duduk, selain sulaman Sport Edition pada tempat duduk hadapan, tikar lantai TPE serta kemasan ambang pintu logam eksklusif.
Dari segi prestasi, X50 Sport Edition mengekalkan enjin i-GT 1.5 liter turbo yang menghasilkan kuasa 181 PS dan tork 290 Nm, dipadankan dengan transmisi dwiklac (DCT) tujuh kelajuan, selain sistem infotainmen bersaiz 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Model itu turut dilengkapi 15 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), termasuk bantuan parkir automatik, kamera HD 360 darjah dengan paparan telus 180 darjah serta sistem pemantauan tekanan tayar. Aplikasi PROTON Link 2.0 pula membolehkan pemilik mengakses maklumat dan fungsi kenderaan dari jauh, termasuk melalui jam tangan pintar Huawei terpilih.
Abdul Rashid berkata, penambahbaikan Sport Edition telah menjalani lebih 13,700 jam ujian meliputi ketahanan, rintangan kakisan, sinaran ultraungu (UV) dan kesesuaian dengan iklim tropika Malaysia bagi memastikan pakej tersebut memenuhi keperluan penggunaan harian.
Pembeli turut menikmati pakej pemilikan standard termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, enam kali servis buruh percuma serta pakej data dalam kenderaan selama lima tahun dengan kuota 2GB sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat. Tempahan dan pembelian Proton X50 Sport Edition kini boleh dibuat melalui rangkaian pengedar PROTON yang sah di seluruh negara. - DagangNews.com



