KENYATAAN tegas Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berhubung beberapa insiden melibatkan provokasi agama menunjukkan pentingnya mengurus sensitiviti kaum dan agama di Malaysia.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, keharmonian sosial bukanlah sesuatu yang boleh dianggap kekal tanpa usaha berterusan.
Ia perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati, kefahaman budaya dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap sebarang tindakan melampau.
Dalam kenyataannya, Aaron menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan, kebencian atau provokasi agama tidak boleh diterima sama sekali.
Ketegasan itu penting kerana insiden yang menyentuh sensitiviti agama lazimnya mempunyai impak terhadap kestabilan sosial sekiranya tidak ditangani secara pantas dan berkesan.
Peranan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menjadi faktor utama dalam memastikan isu seperti ini tidak berlarutan.
Realiti semasa menunjukkan bahawa cabaran terhadap perpaduan nasional semakin kompleks.
Kemunculan media sosial misalnya mempercepat penyebaran maklumat, termasuk kandungan yang bersifat provokatif atau menghasut kebencian.
Dalam keadaan ini, masyarakat perlu memainkan peranan sebagai benteng pertama dalam mengekang penyebaran sentimen negatif.
Sikap mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih atau kenyataan bersifat provokatif hanya akan mempercepatkan perpecahan.
Malaysia mempunyai pengalaman panjang dalam mengurus kepelbagaian kaum dan agama.
Sejak merdeka, pelbagai dasar dan institusi diwujudkan bagi memastikan keseimbangan sosial dapat dipelihara.
Justeru itu, sebarang tindakan melampau yang cuba menggugat keharmonian perlu dilihat sebagai ancaman serius terhadap asas pembinaan negara.
Pada masa sama, usaha memupuk nilai toleransi dan saling menghormati perlu diterapkan sejak peringkat sekolah agar generasi muda memahami bahawa perbezaan agama dan budaya bukanlah alasan untuk berkonflik.
Provokasi agama yang berlaku menjadi peringatan bahawa perpaduan nasional tidak boleh dipandang ringan. Usaha berterusan dalam memperkukuh kefahaman antara kaum merupakan kunci utama memastikan Malaysia terus kekal aman dan harmoni.
