PRU-15: Berdiri Tengah Jalan Raih Undi, Zuraida Dianggap Terdesak Ambil Hati Rakyat?

Politics
17 Nov 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zuraida Kamaruddin - Gambar oleh Syeda Imran

KUALA LUMPUR – Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bermula 5 November lalu, menyaksikan pelbagai strategi dan usaha digunakan calon untuk meraih undi.

Bukan setakat turun padang memberi ceramah di kawasan diwakili, malah calon sering dilihat mendekati rakyat untuk beramah mesra, mendengar keluh kesah dan mengedarkan risalah tertera manifesto ingin ditawarkan nanti.

Namun, tindakan berkempen dilakukan calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang sanggup berdiri di tengah jalan, seperti tular menerusi video dikongsikan beberapa pengguna media sosial bukan sahaja mengejutkan, tetapi juga menerima kecaman dan ejekan ramai.

Menerusi video berdurasi 27 saat yang bertajuk ‘Nenek Tua Si Penjual Bakso Laluan Ampang’ itu, kelihatan Zuraida yang berbaju putih dan unggu serta bertudung rona sama, berdiri di tengah jalan raya dua hala sambil memegang risalah.

Beliau kemudian melambai dan ‘terbongkok-bongok’ kepada setiap pengguna kenderaan di situ sambil menunjukkan risalah di tangannya sebagai isyarat meraih undi.

Risalah itu tertera wajah beliau sebagai calon di Parlimen berkenaan.

Video berkenaan turut disertakan dengan keterangan ‘kesiannya…gitu (begitu) sekali kesudahannya. Allahu, semoga beroleh Husnul Khatimah’.

Meninjau ke ruangan komen perkongsian itu, segelintir netizen mempersoalkan adakah pemimpin kanan PBM terbabit bimbang ditewaskan di kawasan berkenaan, sehingga sanggup menggunakan pendekatan yang seolah-olah memalukan diri sendiri.

“Melihat keadaan beliau macam ini, ada harapan, hilang wang pertaruhan,” kata Aisyah.

“Ya Allah demi duniawi sanggup diri dipandang rendah macam ini. Elok duduk rumah lah main dengan cucu,” tulis seorang pengguna.

“Semangat dia tinggi,” komen Jidon.

Malah, pendekatan kempen digunakan Zuraida itu turut mendapat reaksi warga Twitter.

“Kesian juga Zuraida dok melambai tengah jalan tu. Kereta motor pun tak slow (perlahan) langsung,” ciap Afifuddin.

“Minta maaf kak, nampak terhina. Jangan menghina diri sendiri. Pergi lah pasar ke kalau nak jumpa pengundi. Bahaya kempen kat situ,” kata Zaky.

“Bahaya gila kereta laju semua. @PDRMsia_Trafik, @PDRMsia, tak ada tindakan ke pada mereka. Membahayakan diri dan pengguna jalan raya,” komen seorang netizen.

“Ini menunjukkan betapa berharganya undi kita. Marilah kita mengundi dengan bijak Sabtu ini. Tolak yang rasuah. Tolak yang khianat,” tegas Nick.

Ada pula segelintir mencoret komen menyamakan Zuraida seperti penjual jeruk mangga yang sering berada di tengah jalan untuk menjual kudapan berkenaan.

“Kalau Zuraidi boleh menang lagi PRU kali ini memenag power (hebat) lah dia punya luck (nasib). Tak sia-sia jual pelam (mangga) tengah jalan,” gurau Kyroll.

“Sedih tengok. Alang-alang lambai-lambai tu, buat lah jeruk mangga. Dapat juga RM5 hingga RM60 sehari,” ciap Rayyan.

“Acik jual pelam asam boi ke tu?,” kata seorang pengguna.

Bagaimanapun, ada netizen memaklumkan, taktik berkempen itu bukan pertama kali digunakan Zuraida, sebaliknya setiap kali bertanding pada pilihan raya.

“Memang habit dia setiap kali pilihan raya akan dok kempen kat tengah-tengah, terutama waktu sesak. Malah masa dalam PKR lagi,” kata seorang warga maya.

“Untuk berlaku adil, berdiri di pembahagi atau persimpangan jalan sambil merayu undi dilakukan Zuraida sejak dia mewakili PKR (Pakatan Harapan) dulu. Dia tak cuma mengerah orang bawahan, malah dia turun padang. PRU-14, selain beraksi begini, dia sendiri turun mengedar risalah dan buah limau kepada pengguna jalan raya di sekitar Ampang,” ujar seorang pengguna lain.

Sementara itu, Zuraida menerusi Facebook memaklumkan kaedah digunakannya itu adalah aktiviti ‘flash mob’ (turun padang) bagi mendekati pengundi.

Malah, beliau berkata, usaha itu bukan cara baharunya dalam berkempen kerana ia sudah dipratikkan sejak tahun 2008.

Justeru, apabila bersama PBM, beliau tetap menggunakan kaedah itu bagi mendekati pengundi.

“Flashmob? Ya saya dah buat cara ni sejak 2008 lagi dan meneruskan hingga kini bersama jentera akar umbi (Parti) Bangsa Malaysia,” katanya.

Pada PRU-15, Parlimen Ampang menyaksikan persaingan sengit sembilan penjuru, termasuk tiga calon bebas.

Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Parti Pejuang Tanah Air).

Selain itu, Lai Wai Chong (Parti Warisan) serta calon bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng dan M Raveendran.

Pada PRU-14, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR ketika itu, mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru.

Menyandang kerusi itu sejak tahun 2008 dan 2020, beliau bertindak meninggalkan PKR bersama 10 ahli Parlimen lain, sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta kemudian keluar untuk bersama PBM. – Getaran, 17 November 2022