#PRU-15: Muhyiddin, Abang Jo, Hadi Bertemu Bincang Pembentukan Kerajaan Persekutuan

Politics
20 Nov 2022 • 12:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhyiddin Yassin (tengah) ketika menerima kunjungan Tan Sri Abg Johari Tun Openg, hari ini. - Gambar Facebook MuhyiddinYassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawark (GPS), Tan Sri Abg Johari Tun Openg.

Dalam satu hantaran di Facebook milik beliau, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut berkongsi gambar pertemuan mereka yang disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama seorang lagi individu tidak dikenali.

Beliau berkata, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Pagi ini saya menerima kunjungan Abang Johari Zohari (Premier Sarawak) dan Abdul Hadi (Presiden PAS) untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen Bebas. Insya-Allah, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya.
Bagaimanapun mantan Perdana Menteri kelapan itu tidak mendedahkan lokasi pertemuan tersebut diadakan.

Terdahulu, Muhyiddin dalam sidang sidang awal hari ini mendakwa sudah menerima surat daripada Istana Negara dan akan menyempurnakan kehendak Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci surat tersebut, sebaliknya akan mengambil tindakan pantas untuk mengadakan perbincangan dengan GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan.

Pada masa sama Muhyiddin menegaskan, PN tidak akan membuat sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) namun mengalu-alukan kehadiran parti lain untuk bersama PN.

“Parti yang mahu bersama bagaimanapun haruslah menerima prinsip PN sekali gus membentuk sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil,” katanya.
Ketika mengumumkan mengenai kesediaan membuka ruang untuk parti lain bersama PN bagi membentuk kerajaan, penyokong yang berada di lokasi melaungkan ‘tolak Zahid’ iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun Muhyiddin berkata, beliau tidak menyebut nama mana-mana parti.

Dalam PRU-15, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi tadi, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PN mencatat prestasi mengagumkan pada pilihan raya kali ini apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu menggunakan logo PAS.

PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

BN pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi manakala Gerakan Tanah Air (GTA) gagal memenangi sebarang kerusi. – Getaran, 20 November 2022