PRU-15: Ribut Petir Diramal Seluruh Negara Pada Petang Hari Pengundian

17 Nov 2022 • 1:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Beberapa negeri diramal hujan bermula awal pagi Sabtu, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dengan ribut petir dijangka berlaku seluruh negara pada sebelah petang - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Beberapa negeri diramal hujan bermula awal pagi Sabtu, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dengan ribut petir dijangka berlaku seluruh negara pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Lim Ze Hui berkata antara negeri yang akan mengalami hujan pada awal pagi termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke barat Johor.

Sementara Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami hujan berterusan sepanjang hari, namun katanya, MetMalaysia tidak menjangkakan berlaku taburan hujan luar biasa bagi kedua-dua negeri berkenaan.

“Bagi negeri-negeri di sebelah utara, cuaca dijangka baik di sebelah pagi.

“Dalam pada itu, kejadian ribut petir yang diramal berlaku di hampir semua negeri di sebelah petang ini, ia hanya ribut petir yang biasa dan tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih. - Bernama