PRU Lebih Awal Jika BN Tak Hormat Kerajaan Perpaduan - PM

LocalPolitics
17 May 2026 • 6:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRU Lebih Awal Jika BN Tak Hormat Kerajaan Perpaduan - PM

KUALA LUMPUR - Ketegangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi mencetuskan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal daripada jadual.

Memberikan amaran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH bersedia untuk bertanding di semua kerusi di seluruh negara sekiranya BN dan UMNO tidak lagi mematuhi persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan.

Amaran Perdana Menteri menyusul pengumuman mengejutkan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kurang 24 jam lalu. 

Onn Hafiz semalam dipetik sebagai berkata, BN akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri akan datang, sekali gus dilihat sebagai satu ‘penentangan’ terhadap PH di negeri tersebut.

Dalam ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru hari ini, Anwar mengakui terkejut dengan pendirian diambik BN Johor itu.

“Kami terkejut dengan keputusan BN dan UMNO untuk bertanding di semua kerusi di Johor, tetapi kami telah menjangkakan perkembangan ini.

“Itu keputusan mereka. Pada ketika ini, hubungan kepimpinan pusat masih baik dan harmoni. Namun jika berlaku pertembungan di Johor, PH juga membuat keputusan tegas, kami akan bertanding di semua kerusi,” tegasnya.

Jelas beliau, PH turut bersedia menghadapi pertembungan yang lebih luas di beberapa negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang sekiranya kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan gagal dipertahankan.

“Di Negeri Sembilan kami akan bertanding di semua kerusi. Di Selangor, Pulau Pinang dan Pahang juga kami akan bertanding di semua kerusi.

“Namun ini hanya jika persefahaman dilanggar. Jika rundingan dibuat dengan baik, kita akan terus bersikap sabar dan berhemah demi kestabilan politik negara,” katanya.

Menerusi ucapan sama, Perdana Menteri menolak dakwaan wujudnya perpecahan dalam PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, sambil menyifatkan ia sebagai ujian terhadap kesepaduan gabungan tersebut.

Beliau turut mengkritik pihak lawan yang didakwa menggunakan bantuan serta pendekatan populis di peringkat negeri bagi meraih sokongan menjelang pilihan raya.

“Johor dan Negeri Sembilan, kita bertanding di mana-mana. Jika itu yang mereka mahu, kita akan berhadapan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi isyarat, perkembangan semasa boleh mendorong kepada pembubaran Parlimen lebih awal.

“Tarikh pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, namun ia akan dibincangkan bersama rakan-rakan dalam kerajaan,” katanya. - Getaran, 17 Mei 2026