PRU15: 114 pusat pengundian awal di Sarawak

15 Nov 2022 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota dan pegawai polis menunggu giliran untuk proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat Polis Miri, pada Selasa. - Foto Bernama

KUCHING - Sebanyak 114 pusat pengundian awal dibuka di Sarawak bermula jam 8 pagi Selasa bagi membolehkan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pusat-pusat pengundian awal ini akan ditutup secara berperingkat-peringkat di antara jam 12 tengah hari dan 5 petang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Sarawak di sini berkata, terdapat 103 saluran mengundi serta 55 pusat pengundian awal bagi polis dan pasangan mereka di negeri ini.

Beliau berkata, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, seramai 830 pegawai kanan dan rendah mengundi di empat saluran yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad dan pasangan Datin Sdfra' Ahmad masing-masing menjalankan tanggungjawab mengundi di Dewan Serbaguna, Markas Satu Divisyen, Kem Muara Tuang di Kota Samarahan.

Mardzuki berkata, kesemua 12,256 anggota tentera yang mengundi awal turut melibatkan mereka yang mengundi secara pos bagi yang bertugas di pos-pos kawalan di sempadan negeri.

Tinjauan Bernama mendapati pengundi mula hadir ke pusat pengundian sejak jam 7.15 pagi dan proses pengundian berjalan lancar serta dalam keadaan terkawal.

Proses mengundi bagi Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu yang dijalankan di Dewan Serbaguna Kem Lanang mempunyai seramai 614 pengundi awal berdaftar, termasuk 159 pasangan mereka.

Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menjadi antara pusat pengundian awal bagi Parlimen Miri dan Sibuti yang masing-masing mempunyai 1,045 dan 775 pengundi awal bagi PRU15.

Beberapa calon bertanding dalam PRU15, dilihat tidak melepaskan peluang untuk meninjau pusat-pusat pengundian awal di kawasan masing-masing, seperti Datuk Rubiah Wang iaitu calon Parlimen Kota Samarahan, Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Wong Ching Yong (Lanang) dan Lukanisman Awang Sauni (Sibuti).

Di Sarawak, PRU15 ini hanya melibatkan pertandingan untuk kerusi Parlimen dengan sejumlah 92 calon bertanding bagi merebut 31 kerusi.

Daripada jumlah itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding untuk semua kerusi, Pakatan Harapan (PH) 30, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 10, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) tiga, Perikatan Nasional (PN) empat, manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Kesedaran Sarawak (SEDAR) masing-masing satu manakala 11 lagi adalah calon Bebas. - Bernama