
LENGGONG - BN Perak yakin dapat memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keyakinan itu kerana sokongan yang ditunjukkan pengundi muda begitu tinggi.
"Saya buat tinjauan malam tadi mendapati pengundi muda memenuhi bilik gerakan BN di sini.
"Begitu juga di Hulu Perak. Saya percaya BN akan mencapai kemenangan " katanya ketika ditemui selepas mengundi bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah, di Lenggong pada Sabtu.
Saarani dan isteri tiba di sekolah itu pada jam 8.07 pagi dan bersalaman dengan beberapa orang pengundi lalu memasuki bilik untuk mengundi pada jam 8.11 pagi.
Saarani berkata, dia hadir awal kerana keadaan cuaca yang baik dan pengundi berjalan lancar.
"Saya harap dengan keadaan cuaca akan menarik perhatian orang ramai untuk keluar mengundi awal sebab bimbang berlakunya hujan pada waktu petang," katanya.
Ditanya mengenai persiapan banjir, Saarani berkata, Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri memberikan jaminan jentera berada pada kesiapsiagaan yang tinggi.
Katanya, ramalan Jabatan Metreologi menjangkakan berlaku hujan lebat dan banjir pada minggu depan.
Saarani calon BN untuk DUN Kota Tampan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Jamil Yahya dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Sabri Abdul Manaf.
DUN Kota Tampan mempunyai 15,354 pengundi.
Sementara itu. seorang pengundi Norhashimawaati Haris, 34, membawa adiknya orang kelainan upaya (OKU) fizikal Nor Hashashikin, 29 untuk mengundi di sekolah ini.
"Saya bawa adik dengan kerusi roda kerana adik saya tidak boleh berjalan dan bercakap," katanya.

