PRU15: GPS sapu 23 kerusi Parlimen selepas menang di Parlimen Baram

Politics
21 Nov 2022 • 8:51 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) semakin mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat setelah berjaya memperoleh kerusi Parlimen yang ke-23 bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kemenangan Datuk Anyi Ngau (gambar) di Parlimen Baram hari ini.

Menerusi keputusan terkini di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anyi yang juga penyandang kerusi berkenaan memenangi pertembungan tiga penjuru bagi kawasan itu dengan majoriti 7,339 undi selepas memperolehi 18,399 undi.

Beliau menewaskan Roland Engan daripada Pakatan Harapan dan calon Bebas Wilfredentika yang masing-masing hanya mendapat 11,060 dan 324 undi.

Terdahulu, SPR membuka 12 pusat mengundi di Parlimen Baram untuk proses pengundian PRU15 berlangsung, susulan beberapa pusat mengundi di situ digantung ekoran keadaan cuaca yang tidak baik pada hari pengundian (19 Nov).

Dalam pilihan raya kali ini, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertanding di kesemua 31 Parlimen di Sarawak.-Bernama