PRU15: Jangan guna isu kaum, kempen secara bersih dan berprinsip

5 Nov 2022 • 4:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 5 OKT: Sekretariat Kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak mengingatkan parti bertanding tidak mempolemikkan isu perkauman yang mungkin diguna sepanjang kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sekretariat tersebut berkata calon HARAPAN Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari komited berkempen secara bersih, berintegriti, adil, berprinsip serta mengamalkan hujah berfakta yang tepat dan terkini sepanjang berkempen.

“Dato’ Seri Amirudin meraikan kepelbagaian masyarakat yang ternyata rencam di Gombak sebagai kekuatan kita di Malaysia bukannya mempolemikkan isu perkauman yang mungkin diguna pihak tertentu untuk memecah-belahkan masyarakat yang selama ini hidup aman dan tenteram, lebih-lebih lagi di Selangor.

“Dato’ Seri Amirudin menggesa calon-calon lain di Parlimen Gombak untuk menyatakan komitmen yang sama demi kepentingan rakyat agar kempen PRU15 yang bermula secara rasmi hari ini sehingga tarikh pengundian 19 November dapat dijalankan secara sihat,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Calon lain yang diumumkan ialah penyandang tiga penggal kerusi itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin Barisan Nasional (BN).

Dua lagi calon ialah Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas Zulkifli Ahmad.