PRU15: KJ Maklum Tiada Laluan Khas Disediakan Bagi Pengundi Positif Covid-19

LocalPolitics
17 Nov 2022 • 11:04 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
KJ maklum tiada laluan khas

Beberapa hari yang lalu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan satu panduan khusus bagi pengundi positif Covid-19 untuk menjalankan tanggungjawab mereka bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Tujuan panduan tersebut dikeluarkan adalah untuk memastikan proses mengundi dapat dijalankan dengan selamat dan dalam masa sama dapat mengurangkan risiko jangkitan terhadap pengundi serta petugas lain.

Walau bagaimanapun, panduan itu tiada menyebut tentang laluan atau saluran khas bagi pengundi yang positif Covid-19.

Perkara ini menimbulkan rasa kurang senang dari orang ramai yang meminta kementerian itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menyediakan satu saluran khas buat kelompok terbabit.

Laluan khas pengundi positif Covid-19 tak dilaksanakan

Terbaharu, Menteri Kesihatan sementara (caretaker), Khairy Jamaluddin mengumumkan laluan khas itu tidak dapat dilaksanakan meskipun pelbagai perbincangan telah diadakan oleh kementeriannya dan SPR berhubung isu tersebut.

“Perkara itu diputuskan selepas mengambil kira kekangan sumber, ruang dan tenaga kerja.

“Setakat ini, prosedur operasi standard (SOP) adalah mengikut apa yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah),” ujarnya dipetik dari Kosmo.

Ujar Khairy ketika mengulas mengenai kebimbangan pengundi apabila terpaksa keluar mengundi bersama individu yang positif Covid-19.

DG Hisham maklum KKM akan kenal pasti pengundi positif Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera

Dalam pada itu, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam ciapan di Twitter miliknya turut memaklumkan bahawa KKM akan mengenal pasti pengundi positif Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

“Petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat pembuangan undi bagi menyelaras urusan pembuangan undi positif Covid-19.

“Kerjasama semua di pusat mengundi amat diharapkan agar urusan penyelarasan ini berjalan lancar, selamat dan teratur,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pengundi positif Covid-19 untuk mengemaskini status kesihatan mereka dalam aplikasi tersebut sebelum keluar ke pusat mengundi.