PRU15: Pengundi Cina, India tidak mahu kerajaan 'rojak'

Politics
14 Nov 2022 • 8:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nur Jazlan

JOHOR BAHRU - Tawaran BN mahu mewujudkan kestabilan dan kemakmuran jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka meningkatkan sokongan pengundi Cina dan India di negeri ini sekali gus akan diterjemahkan dalam bentuk undi.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kestabilan dan Kemakmuran yang merupakan tema manifesto BN dilihat mereka akan menjadi formula mengukuhkan ekonomi dan menghapuskan ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun sebelum ini.

"Saya yakin pengundi Cina dan India di Johor, terutama generasi lama akan memberi sokongan kepada BN pada kali ini.

"Sebenarnya mereka mahukan kestabilan (ekonomi dan politik) dan kepastian untuk masa depan mereka.

"Mereka tidak mahu kerajaan Persekutuan yang 'rojak' (kerajaan campuran) seperti yang berlaku dalam tempoh empat tahun ini," katanya.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Pulai itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Deepavali anjuran persatuan Tamilar Aikya Sangam di Taman Bukit Mewah di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Nur Jazlan menjadi Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal sejak PRU11 pada 2004 sebelum tewas kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam PRU14 pada 2018 yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu mendapat majoriti 28,924 undi.

Pada PRU15, beliau sekali lagi akan berdepan Salahuddin dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong.

Nur Jazlan berkata, tema Kestabilan dan Kemakmuran akan sekali lagi menjadi tarikan kepada pengundi Cina dan India untuk memilih BN pada PRU15 sama seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Menurut beliau, situasi politik pada PRU15 adalah berbeza dengan PRU14 yang menyaksikan masyarakat Cina secara terbuka menolak BN.

"Saya percaya pada kali ini komuniti Cina dan India faham bahawa BN adalah satu gabungan yang mampu membangunkan negara," ujarnya.

Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, gelombang baharu sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN telah menunjukkan peningkatan pada PRU15.