PRU15: Sembilan pusat mengundi terjejas akibat banjir

LocalPolitics
19 Nov 2022 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pusat mengundi di SK Telahak, Limbang di Sarawak yang terkesan akibat banjir pada Sabtu. - Foto JBPM

image is not available
Pasukan bomba membantu orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab selepas kawasan kampung mereka di Sarawak dilanda banjir pada Sabtu. - Foto Foto JBPM

SHAH ALAM - Sebanyak sembilan pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di lima negeri terkesan banjir pada Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, berdasarkan data setakat jam 12 tengah hari, pusat mengundi itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Penjong di Pahang, SK Rancangan Belia Sook, Sabah; SK Dato Sarif, SK Telahak dan SK Long Bemang di Sarawak.

Menurutnya, selebihnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Ibrahim (P), Johor; SK Bota Kiri, Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Tamil Changkat Beruas, SKJ Tamil Glouster Changkat Jong di Perak.

"Beberapa pusat mengundi ini ada dinaiki air setinggi 1.3 hingga dua meter dan ada laluan ke pusat undi ini yang turut terjejas.

"Bomba bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membantu membawa 299 pengundi menaiki bot," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas mengenai situasi banjir seluruh negara, Mohammad Hamdan berkata, 33 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di enam negeri iaitu Sarawak, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka dan Johor.

Katanya, PPS ini menempatkan 2,765 mangsa terdiri daripada 767 keluarga.

"Sebanyak 259 pemantauan turut dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 570 keanggotaan termasuk pasukan bomba sukarela (PBS) dan pegawai bomba bantuan (PBB)," ujarnya.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti makluman, amaran dan arahan agensi keselamatan dan penguat kuasa berhubung keadaan banjir serta berisiko.

"Sila pantau dan salurkan info penting kepada agensi kecemasan berkenaan persekitaran yang menjejaskan keselamatan penduduk setempat selain menangguhkan dahulu aktiviti tertentu seperti berekreasi di kawasan yang dikenal pasti berisiko akibat hujan atau kenaikan paras air," katanya.