
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengumumkan perletakan jawatannya bagi mengambil tanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, beliau turut menggesa agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berundur secara terhormat bagi mengambil tanggungjawab kekalahan ini.
"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu (Presiden UMNO dan Pengerusi BN) perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini dengan berundur secara terhormat.
"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.
"Atas semangat 'collective responsibility' itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas Shahril, keputusan besar sebegitu memang perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan bukannya mana-mana individu atau kelompok sahaja.
Namun katanya, sebelum parti hendak berbincang atau membuat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu.
"Benar, ada konsep 'collective responsibility' dalam sesuatu kegagalan.
"Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 dalam PRU15.
"Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. 'This is not the end'," jelasnya.
