Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan parti berkenaan bakal mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas pada 16 Ogos yang bertujuan untuk menentukan masa depan DAP sama ada masih mahu terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran atau sebaliknya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Anthony Loke Umum Letak Jawatan Pengerusi DAP N9, Keputusan Kekal Dalam Kerajaan Perpaduan Atau Tidak Diputuskan 16 Ogos
PRU16 mungkin diadakan pada Februari tahun hadapan jika DAP buat keputusan untuk kekal sokong Kerajaan Perpaduan sehingga Belanjawan 2027
Terbaharu bekas Ahli Parlimen Bangi yang juga dari parti DAP, Dr Ong Kian Ming berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-16 mungkin akan diadakan seawal Februari 2027 sekiranya DAP membuat keputusan masih kekal menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga pembentangan Belanjawan 2027 dilakukan pada Oktober ini.
Jelasnya, Persidangan Kebangsaan Khas yang akan diadakan pada 16 Ogos itu bakal menentukan sama ada parti terbabit akan menarik sokongan dengan segera, kekal, sehingga akhir penggal atau hingga pada tempoh tertentu, ia termasuklah selepas pembentangan Belanjawan bagi tahun hadapan.
Perkara itu termasuk dengan keputusan melibatkan peletakan jawatan menteri serta timbalan menteri daripada parti DAP.
Ong Kian Ming berpendapat nasib DAP mungkin lebih teruk jika sokongan masyarakat Cina kepada PH merosot
Menurut beliau lagi, sekiranya kemerosotan sokongan daripada masyarakat Cina kepada Pakatan Harapan (PH) masih berterusan sehingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Sarawak, maka nasib DAP bakal lebih teruk.
Katanya lagi ia termasuklah dengan kemungkinan di mana pengundi masyarakat Cina juga bakal beralih sokongan kepada MCA pada PRU ke-16 ini, sekiranya berasakan DAP akan menjadi pembangkang.
Berpandangan UMNO mungkin akan ambil kesempatan untuk tarik balik sokongan jika letak jawatan lepas Belanjawan
“Jadi, yang tinggal untuk diputuskan (pada persidangan), sama ada meletak jawatan segera atau selepas Belanjawan.
“Jika nak letak jawatan selepas Belanjawan, pada pandangan saya, contohnya pada Disember, ada kemungkinan UMNO akan menggunakan kesempatan ini untuk tarik balik sokongan (daripada Kerajaan Perpaduan) atau (menteri dan timbalan menteri UMNO) letak jawatan secara beramai-ramai pada Januari.
“Jadi, ada kemungkinan ini akan mencetuskan pembubaran Parlimen dan PRU16 akan diadakan di akhir Februari selepas Tahun Baharu Cina dan sebelum Aidilfitri,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Perkara itu dijelaskan Ong Kian Ming dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Jangka peratusan pengundi dari masyarakat cina akan rendah jika PRU16 diadakan pada Februari
Ong Kian Ming dalam podcast itu juga menjangkakan, jika PRU16 dilakukan pada Februari, peratusan pengundi daripada masyarakat Cina yang bakal mengundi akan menjadi rendah disebabkan mereka sudah balik ke kampung halaman untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“Bagaimanapun, kadar peratusan mengundi dalam kalangan pengundi Melayu akan naik kerana mahu pulang ke kampung menyokong Kerajaan Perpaduan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), dan pada masa sama, untuk menyambut Aildilfitri. Itu adalah satu senario yang boleh berlaku.”







